≡ Menu

Buku VS Mainan? Satu Panduan Untuk Ibu Bapa


Mana satu anak anda lebih kerap minta dan pilih? Buku atau mainan? Atau adakah permintaannya seimbang? Jika permintaan terhadap mainan lebih berbanding buku, apa yang harus anda lakukan? Ikut saja atau tukar strategi? Bagi mendorong anak-anak memilih bahan bacaan, anda harus lakukan sesuatu kerana tidak dinafikan ‘dunia’ digital kian menguasai generasi zaman ini.

Saya masih ingat, beberapa tahun yang lalu, seorang rakan berkongsi cerita. Dia merupakan bekas guru besar sekolah rendah. Ketika itu kami sedang berbincang bagaimana untuk memupuk amalan suka membaca untuk mencari ilmu di kalangan kanak-kanak. Dia menceritakan tentang seorang ibu yang datang meminta nasihatnya :

Ibu : Anak saya tak suka buku, malas membaca…suka main mainan atau game kat komputer saja di rumah. Apa patut saya buat?
Guru Besar : Di rumah ada buku tak….Puan ada belikan dia buku?

Ibu : Er, ada tapi tak banyak , dia asyik nak beli mainan aje…buku dia tak minat. Kalau ke kedai, mesti minta beli mainan baru… Tak guna beli buku kalau dia tak suka….
Guru Besar : Tapi bagaimana dia nak suka kalau buku tiada di dalam persekitarannya. Puan dan suami puan suka membaca? Bagaimana anak nak suka serta minat pada buku, jika kita tak beli dia buku; asyik beli mainan saja. Bagaimana anak nak suka buku jika ibu dan bapa tidak menunjukkan minat atau mencetuskan minat pada buku terlebih dahulu?”

Persoalannya, jika di rumah sendiri kurang buku. Lebih banyak mainan dari buku. Ibu dan ayah pula mungkin kurang membaca. Dengan ini, suasana yang menggalakkan amalan membaca tiada di rumah. Dengan itu bagaimana untuk memupuk amalan tersebut?

Wujudkan Suasana/Persekitaran :
Pastikan dalam rumah ada buku-buku serta bahan bacaan untuk dibaca. Ibu dan ayah adalah ikon pertama anak. Anak lazimnya ingin buat apa yang ibu dan ayahnya buat serta akan menyukai apa yang ibu dan ayah suka. Anda boleh wujudkan perpustakaan kecil di rumah. Kalau boleh juga di setiap sudut ada rak buku contohnya di dapur ada rak buku masakan. Sekiranya, ke mana saja anak pergi di dalam rumah, dia terjumpa buku atau bahan bacaan lain, dia akan dapat merasakan betapa pentingnya buku dalam kehidupan keluarganya. Salah satu perkara yang anda boleh lakukan ialah membawa buku ke mana saja. Suatu cadangan yang boleh dilaksanakan adalah meletakkan buku-buku di dalam kereta. Amat berguna untuk perjalanan yang jauh.

BACA:  [TERKINI] Bantahan Rakyat Palestine Terhadap Pengumuman Trump Semakin Tegang

Luangkan Masa
Antara cara untuk menghabiskan masa yang berkualiti dengan anak adalah dengan membaca. Anda boleh pilih masa yang sesuai untuk membaca bersama anak. Anda hanya perlukan 15 sehingga 30minit untuk membaca dengan anak. Ramai yang suka mengamalkan membaca cerita sebelum tidur.

Ia merupakan amalan yang baik kerana ia juga dapat mengeratkan hubungan ibu atau ayah dengan anak. Setengah pula berpendapat waktu ini kurang sesuai kerana daripada ingin tidur mungkin anak menjadi bertenaga semula. Apa pun pilih waktu yang sesuai untuk membaca bersama dan jadikan ia rutin harian. Ketika membaca buku bersama-sama, pastikan televisyen ditutup.

Selain membaca cerita untuk anak, luangkan juga masa untuk mengajarnya membaca. Walaupun anak sedang belajar membaca di tadika atau taska, sesi mengajar membaca di rumah merupakan aktiviti pengukuhan serta dorongan. Peringatan: Jangan jadikan sesi ini sesi menguji kemampuan anak. Pastikan sesi ini menyeronokkan. Jika anak belum boleh membaca, anggaplah sesi itu adalah sesi tambahan yang dapat menggalakkan serta meningkatkan kemampuannya. Lakukan dengan penuh kasih sayang. Jika anda rasa anda tidak boleh melaksanakannya tanpa rasa tertekan, jangan lakukan atau serahkan pada ayah!

Peruntukan
Sediakan peruntukan untuk membeli buku setiap bulan atau dua bulan sekali atau sebarang jangka masa yang tetap yang sesuai dengan situasi anda. Pergi ke kedai buku untuk mencari buku baru boleh menjadi aktiviti yang digemari anak. Jika buku yang ingin dibeli adalah untuk dia belajar membaca, pastikan saiz perkataan serta bilangan perkataan pada satu muka surat adalah bersesuaian dengan tahap bacaannya. Pilih bersama buku yang ada kaitan dengan minatnya ketika itu serta yang bercorak ilmiah. Ini dapat memastikan yang anak didedahkan kepada pelbagai jenis buku serta pelbagai jenis ilmu.

BACA:  Akibat Viral! Wanita Disihir Sehingga Perut Mengembang Macam Nak Meletup

Selain dari membeli buku dan cara yang lebih jimat adalah menjadi ahli perpustakaan. Bawalah anak ke perpustakaan untuk meminjam buku yang diminati dan bersesuaian dengannya. Selain daripada itu, anak boleh menghadiri program-program yang dianjurkan oleh perpustakaan seperti sesi bercerita.

Membaca Apa Sahaja Dalam Persekitaran
Untuk menerapkan minat membaca tidak semestinya dengan buku sahaja. Kesempatan berjalan-jalan di bandar boleh digunakan untuk membaca nama kedai, nama jenama, nama jalan atau apa yang tertulis atas menu. Malah setiap kali berjumpa dengan papan tanda dan papan kenyataan, kongsi apa yang tercatat dengan anak. Dengan cara tak langsung, kita akan menanamkan minat anak terhadap dunia percetakan serta literasi.

Saya mengenali seorang ibu yang mengguna kaedah ini dengan anaknya dan anaknya bukan sahaja suka membaca tetapi telah berjaya membaca pada usia awal. Antara perkara lain yang dilakukannya adalah menulis perkataan baru, lagu, puisi malah resipi di papan putih untuk dikongsi dengan anak!( Pastikan tulisan anda jelas dan kemas!)

Mula Seawal Mungkin
Suka pada buku serta suka pada ilmu harus dipupuk seawal yang boleh. Sebenarnya ia boleh dimulakan ketika anak masih dalam kandungan. Ibu atau ayah boleh membaca pada anak dalam kandungan. Ibu atau ayah tidak perlu membaca satu buku, sekadar membaca serangkap atau satu atau dua muka surat.

Apa yang berlaku adalah anak dapat mendengar serta merasa rasa seronok yang dirasai ibu atau ayah ketika membaca. Ini dapat menanam kecenderungan yang positif terhadap buku. Bila bayi dilahirkan, aktiviti membaca pada bayi boleh diteruskan. Untuk memantapkan lagi impak buku serta ilmu, bayi boleh diajar membaca dengan menggunakan flashcard. Jika amalan ini dimulakan seawal yang boleh dia akan mempunyai kecenderungan yang seimbang terhadap buku serta mainan. Jika anak didedahkan kepada mainan dahulu, buku mungkin kurang diminatinya.

sumber: kedaiberjaya

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel


error: Content is protected !!