≡ Menu

Bukan Soal Tinggi Atau Tidak Iman Seseorang, Tetapi Rasulullah Sendiri Menegahnya!


Larangan Duduk di Majlis Arak
=======================
1. Rasulullah ﷺ pernah mengingatkan para sahabat supaya menjauhi tempat yang dihidangkan arak. Sabda Rasulullah ﷺ:
مَن كان يؤمن بالله واليوم الآخِر، فلا يقعُد على مائدةٍ يُشرب عليْها الخمْر

Maksudnya: Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Rasul, hendaklah dia menjauhi tempat yang dihidangkan minuman arak” (Riwayat Ahmad)

Hadith ini menggambarkan kepada kita bahawa tidak seharusnya bagi seorang Muslim berada ditempat yang terzahir perlakuan yang dilarang oleh Allah. Ini kerana keberadaan mereka ditempat tersebut seakan bersetuju dengan kemunkaran yang berlaku.

2. Dengan sebab itu Umar Abdul Aziz pernah mengarahkan satu kumpulan peminum arak untuk dihukum sebat. Tiba-tiba beliau dimaklumkan bahawa terdapat seorang lelaki yang berpuasa dikalangan kumpulan tersebut. Umar Abdul Aziz bertegas untuk turut mengenakan hukuman adab (hukuman lain) terhadap lelaki tersebut lalu berkata: “Kamu adalah sebahagian dari mereka”. (Tafsir al-Qurtubi, al-Nisa:140). Seolah tindakan lelaki yang berpuasa tadi untuk duduk bersama peminum arak dianggap sebagai salah kerana seakan redha dengan kemunkaran.

3. Imam Malik pernah ditanya berkenaan seorang lelaki yang dijemput ke satu majlis yang menghidangkan arak secara jelas. Apakah boleh dia menghadiri majlis tersebut? Imam Malik menjawab: Tidak! Kerana majlis tersebut telah menzahirkan (mempamerkan) kemungkaran yang jelas. (Ibn Battal, Sharh al-Bukhari).

4. Hadith larangan di atas diucapkan oleh Rasulullah kepada para sahabat sebagai arahan supaya menjauhi majlis yang dihidang arak. Sahabat Nabi adalah golongan yang dimuliakan Allah di dalam al-Quran. Sekalipun mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah dan Rasul, peringatan seperti ini tetap disampaikan Rasulullah kepada mereka.

BACA:  Saat Merasa Takut, Bacalah Doa Yang Diajarkan Rasulullah Ini

Apakah iman kita pada hari ini lebih tinggi dari para sahabat sehingga kita memperlekeh nasihat yang diberikan berdasarkan hadith di atas?

Kisah arak telah wujud pada zaman Nabi S.A.W lagi. Pada Zaman Arab Jahiliyyah, arak ialah hidangan biasa bagi orang Arab. Erti kata lain, asalnya arak tidak haram sehinggalah diceritakan Al-Quran mengenai pengharaman arak dalam Surah Al-Baqarah ayat 219, maksudnya :

” Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya”. Dan mereka bertanya pula kepadamu: apakah yang yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “(Dermakanlah apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu)”. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir.”

Selepas ayat ini diturunkan, masyarakat Arab Jahiliyyah masih lagi kerap menjadikan arak sebagai hidangan. Kemudian, Allah SWT turunkan ayat yang kedua berkaitan arak untuk menjauhkan arak.

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hinggalah kamu sedar dan mengetahui apa yang kamu katakan. Dan janganlah kamu pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) kecuali kamu hendak melintas sahaja-hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayammum dengan tanah-debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.” (Surah An-Nisaa’ : 43)

BACA:  Mengapa Bahasa2 Lain Tidak TERPILIH Untuk Digunakan Di Dalam Al-Quran !!! Ini Rahsianya

Ayat yang pertama di atas menunjukkan kenyataan bahawa arak itu terdapat di dalamnya keburukan atau dosa besar yang dilakukan walaupun ada manfaat, tetapi manfaatnya hanyalah sedikit berbanding keburukan yang ada di dalamnya. Ayat yang kedua pula, Allah SWT melarang bersolat sekiranya masih dalam keadaan mabuk. Ayat yang kedua ini telah memansuhkan hukum arak yang pada asalnya ada manfaat pada ayat yang pertama tadi.

Kemudian, orang arab sudah tidak meminum arak lagi hanya kerana hendak bersolat. Apabila telah selesai bersolat, mereka kembali meminumnya seperti biasa. Akhirnya, Allah SWT telah menurunkan ayat mengenai pengharaman arak.

” Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Maidah : 90)

Maka, ayat yang kemudian diturunkan ini telah memansuhkan hukum arak di ayat yang kedua dengan Allah SWT melarang terus manusia meminum arak kerana ia adalah perbuatan keji dan amalan syaitan.

sumber: Ahmad Sanusi

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel


error: Content is protected !!