≡ Menu

Benarkah Tidur Ketika Berpuasa Itu Satu Ibadah? Ini Penjelasan Syarak


Berpuasa bukan sahaja membawa erti menahan diri daripada lapar dan dahaga, tetapi juga menahan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.

Namun, ada juga beberapa perkara yang diberikan pahala sunat jika dilakukan pada bulan puasa. Antaranya ialah tidur ketika sedang berpuasa.

Terdapat hadith yang mengatakan bahawa tidur ketika berpuasa itu adalah ibadah dan dikira sebagai amalan sunat. Akan tetapi terdapat sedikit pertikaian bagi hadith berkenaan.

Jadi, bagi menjawab persoalan mengenai perkara ini, jom kita ikuti penerangan daripada Mufti Wilayah Persekutuan mengenainya.

Soalan: Apakah terdapat hadith yang menceritakan berkaitan tidur orang yang berpuasa adalah ibadah?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith yang masyhur dan ia sering ditimbul apabila tibanya bulan Ramadhan.

Daripada Abdullah bin Awfa RA, dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:
نَوْمُ الصَّائِمِ عِبَادَةٌ، وَصَمْتُهُ تَسْبِيحٌ، وَدُعَاؤُهُ مُسْتَجَابٌ، وَعَمَلُهُ مُضَاعَفٌ

Maksudnya: “Tidur seorang yang berpuasa adalah ibadah, diamnya adalah tasbih, doanya mustajab dan amalannya berganda.” [Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (3654)]

Hukum Hadith

Imam al-Baihaqi menyatakan di dalam sanad hadith ini terdapat dua orang perawi yang dhaif iaitu Ma’ruf bin Hassan dan juga Sulaiman bin ‘Amr al-Nakha’ie tetapi Sulaiman lebih dhaif berbanding Ma’ruf. [Lihat: Syu’ab al-Iman, 5/422] Selain itu, Imam al-‘Iraqi menyatakan Sulaiman al-Nakha’ie merupakan salah seorang pendusta. [Lihat: al-Mughni ‘An Haml al-Asfar, 1/182] Tambahan pula, Imam al-Suyuthi juga menilai hadith ini sebagai dhaif. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, 2:363]

BACA:  Solat Di Tingkat Berasingan Walaupun Saf Di Tingkat Bawah Belum Penuh? Ini Jawapan Mufti

Melihat kepada beberapa pandangan ulama di atas dalam menilai hadith di atas, kami cenderung kepada kedhaifan hadith ini kerana di dalam sanadnya terdapat lebih daripada seorang perawi yang dinilai dhaif oleh para ulama.

Walaupun begitu, tidur boleh menjadi ibadah apabila seseorang itu menetapkan di dalam hatinya bahawa dengan tidur tersebut untuk menjadikan dia kuat dalam beribadah kepada Allah SWT seperti membaca al-Qur’an, berzikir, menuntut ilmu dan lain-lain lagi. Justeru itu, tidur seseorang itu boleh menjadi ibadah bergantung kepada niatnya. Secara umumnya, tidur orang yang berpuasa adalah ibadah kerana dia tidur dalam keadaan dia sedang berpuasa.

Adapun berkaitan, doa orang yang berpuasa adalah mustajab ada dinyatakan di dalam hadith yang lain iaitu:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ: دَعْوَةُ الصَّائِمِ، وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

Maksudnya: “Tiga doa yang mustajab: Doa orang yang berpuasa, doa orang yang bermusafir dan doa orang yang dizalimi.” [Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (3323)][Imam al-Suyuthi menilai hadith ini sebagai hasan]

Di dalam riwayat yang lain pula, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَالإِمَامُ العَادِلُ، وَدَعْوَةُ المَظْلُومِ

Maksudnya: “Tiga doa yang tidak akan ditolak: Doa orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan juga doa orang yang dizalimi.” [Riwayat al-Tirmizi (3598)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih]

BACA:  6 Kebaikan Mandi Sebelum Subuh, Rugi Kalau Tak Amalkan

Berdasarkan kepada dua hadith ini, para ulama melihat sunat bagi orang yang berpuasa untuk memperbanyakkan berdoa bermula daripada awal hari (bermula puasa) sehingga ke akhirnya.

Selain itu juga, sememangnya Allah SWT menggandakan pahala amalan bagi orang yang berpuasa. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang sahih:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ، الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعمِائَة ضِعْفٍ

Maksudnya: “Setiap amalan anak Adam akan digandakan, satu kebaikan digandakan dengan sepuluh kali sehingga tujuh ratus kali ganda.” [Riwayat Muslim (1151)]

Oleh itu, walaupun hadith tersebut dhaif tetapi terdapat hadith-hadith lain yang menyokong makna hadith tersebut. Ini menunjukkan orang yang berpuasa mempunyai banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT.

Penutup

Kesimpulannya, puasa merupakan salah satu ibadah yang istimewa kerana banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepada orang yang berpuasa ini. Di samping itu juga, bulan Ramadhan merupakan bulan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh mereka cinta kepada ibadah. Oleh itu, marilah kita jadikan bulan Ramadhan ini sebagai bulan untuk kita mengumpul sebanyak mungkin kebaikan dan amal soleh untuk kita jadikan bekalan ketika bertemu dengan Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang diampuni dosanya serta diterima setiap amalannya. Amin.

Wallahua’lam

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel


error: Content is protected !!