≡ Menu

Awas! Gagal Mendengar Luahan Anak Punca Utama Remaja Membunuh Diri


BUNUH diri sering menyebabkan banyak salah faham apabila kematian cara berkenaan mencetuskan pelbagai andaian dan tafsiran negatif masyarakat terhadap si mati.

Bagi umat Islam pula, perkara itu amat ditegah dan dianggap dosa besar walaupun sekadar lintasan dalam hati atau fikiran.

Sebagai hamba, kita dilarang mengharapkan kematian biar bagaimana teruk sekali pun keadaan diri individu berkenaan.

Lantaran itu, laporan Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2017 Kementerian Kesihatan bahawa risiko membunuh diri dalam kalangan pelajar sekolah, terutama remaja seawal usia 13 tahun semakin meningkat adalah sesuatu yang cukup membimbangkan.

Bayangkan dalam usia baru mencecah alam remaja dan mula ‘mengenal dunia’, sebanyak 11.2 peratus kelompok berkenaan sudah ada idea membunuh diri dan sembilan peratus merancang untuk berbuat demikian. Lebih mengejutkan, 10.1 peratus mengaku pernah melakukan cubaan bunuh diri.

Secara psikologinya, semua masalah itu bermula dengan kemurungan melampau yang dialami golongan terbabit. Apabila tidak dirawat, mangsa terus hilang pertimbangan dan seterusnya mencetuskan idea negatif, termasuk bunuh diri.

Mungkin dunia teknologi yang semakin berkembang maju menyebabkan remaja mudah terpengaruh dengan apa yang mereka lihat dan baca, termasuk di media sosial.

Pengaruh media sosial

Menurut kajian pernah diterbitkan dalam jurnal Clinical Psychological Science oleh Florida State University, ada hubung kaitnya di antara waktu yang dihabiskan remaja melayari komputer berlebihan dengan meningkatnya kes bunuh diri dalam kalangan mereka.

BACA:  Keadaan Semakin Tegang di Palestin Setelah Satu Hari Presiden Donald Trump Umum Baitulmaqdis Sebagai Ibu Negara Israel

Hasil kajian membabitkan remaja berusia 13 hingga 18 tahun itu mendapati mereka yang menggunakan alat elektronik melebihi lima jam sehari, berisiko tinggi mengalami tekanan perasaan sehingga menyebabkan mula berfikir untuk membunuh diri.

Kesalahan tidak seharusnya 100 peratus diletakkan kepada remaja terbabit kerana paling utama buat mereka ialah bimbingan dan perhatian ibu bapa sendiri.

Agaknya, disebabkan kurang perhatian itu, tumpuan mereka lebih banyak beralih kepada media sosial hingga terpengaruh dan terbawa-bawa dengan cara yang dilihat dan ditonton mereka.

Apatah lagi, media turut memberi tumpuan kepada kes bunuh diri membabitkan selebriti dan golongan terkenal yang bukan sahaja menjadi idola remaja, malah ikutan mereka di media sosial.

Pegawai Psikologi Kanan Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani, menekankan bahawa keluarga bermasalah sebenarnya banyak menyumbang kepada faktor tidak ‘menjadi’ dalam kalangan remaja, selain kurang komunikasi di antara ibu bapa dan anak yang bermasalah.

Tiada kemahiran keibubapaan

Katanya, kanak-kanak berkenaan sejak dari awal tidak pernah diberi peluang dalam keluarga untuk berkomunikasi dengan berkesan atau meluahkan perasaan, manakala ibu bapa pula tiada kemahiran keibubapaan dalam mendidik anak, termasuk kebolehan mengawal kemarahan dan emosi supaya tingkah laku negatif mereka tidak merosak atau menjejaskan diri remaja terbabit.

BACA:  Hati Tidak Tenteram? 5 Punca Kenapa

Harus diingat, peranan ibu bapa selain membesarkan anak dan menyediakan tempat tinggal serta keperluan asas, adalah untuk menyantuni emosi anak terbabit.

Tidak ramai ibu bapa memiliki kemahiran dan kepekaan berkenaan, terutama dalam kehidupan sekarang yang penuh mencabar dan memerlukan mereka lebih peka dan dekat dengan kehendak remaja.

Luang masa bersama-sama

Konsep komunikasi terbaik di antara ibu bapa dan anak ialah secara menyeluruh dengan ibu bapa bukan sahaja perlu menyantuni emosi anak terbabit melalui pemantauan fizikal dan emosi, tetapi lebih banyak masa perlu diluangkan bersama-sama.

Dengan cara itu, bukan sahaja anak, tetapi ibu bapa sendiri tidak kekok untuk berkongsi masalah dengan anak dan mendengar segala masalah mereka.

Didikan diterima ibu bapa ketika zaman kanak-kanak atau remaja mereka dulu mungkin tidak lagi sesuai ketika ini kerana cabaran kehidupan yang jauh berbeza.

Walaupun masih dianggap kanak-kanak, anak perlu diberi peluang dalam keluarga untuk berkomunikasi dan meluahkan rasa.

Jika perasaan itu tidak diluahkan, kita bimbang lama kelamaan semakin tidak dapat dikawal, sehingga mencetuskan ketegangan atau bebanan yang membawa kepada tingkah laku kurang menyenangkan.

Sumber

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel


error: Content is protected !!