≡ Menu

Adakah Menyebut “Amin” Ketika Khutbah Jumaat Dikira Sebagai Sia-Sia?


Soalan

Assalamualaikum. Adakah menyebut amin (آمين) ketika khutbah untuk mengaminkan doa khatib juga termasuk dalam pengertian lagha?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan menyebut definisi lagha. Berkenaan maksud lagha ketika khutbah Jumaat, kami telah menjelaskannya dalam siri jawapan kami dalam isu Al- Kafi #1042: Makna Lagha Dalam Khutbah Jumaat[1]. Antara lain kami menyimpulkan: “Lagha bermaksud amalan seseorang itu menjadi sia-sia dan meluputkan pahalanya namun solat Jumaat yang didirikan tetap sah dan tidak perlu diulangi semula.”

Pada asasnya terdapat hadith Nabi SAW yang menyebut larangan seseorang itu berkata-kata ketika khatib sedang berkhutbah. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ: أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: “Jika kamu berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat: Diam dan ketika itu imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah lagha (melakukan perkara yang sia-sia).”

Riwayat al-Bukhari (934)

Para ulama’ telah berijma’ bahawa afdhal (sebaik-baiknya) bagi sesiapa yang mendengar khutbah imam untuk diam dan dengar. Perbuatan itu lebih afdhal daripada dia menyibukkan diri dengan berzikir secara sendiri, membaca al-Quran atau berdoa. (Lihat Fath al-Bari, 274/8)

BACA:  Nusyuz. Apa Itu Nusyuz? Dan Apakah Kesan Nusyuz Terhadap Keluarga? Baca Biar Faham

Berkenaan persoalan di atas, Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman Ibn Soleh Ali Bassam ada menyebut dalam kitabnya, Taisir al-‘Allam Syarh ‘Umdah al-Ahkam bahawa mengaminkan do’a khatib itu dibolehkan. (Lihat Taisir al-‘Allam, 2/323)

Al-Malikiyah berpendapat bahawa dibolehkan mengucapkan alhamdulillah bagi orang yang bersin akan tetapi dengan suara yang perlahan. Demikian juga disunnahkan untuk mengaminkan khatib ketika berdo’a akan tetapi dengan suara perlahan juga, dan jika dikuatkan maka hukumnya makruh dan menjadi haram jika perkara itu dilakukan berkali-kali. (Lihat al-Fiqh ‘ala Mazahib al-Arba’ah oleh Abd al-Rahman al-Jaziri, 1/360)

Al-Hanabilah juga membolehkan untuk mengaminkan do’a khatib semasa khutbah, dengan tanpa meninggikan suara, kerana do’a menurut mereka adalah tidak termasuk dalam rukun khutbah. (Lihat al-Fiqh ‘ala Mazahib al-Arba’ah, 1/362)

Kami berpendapat bahawa dibolehkan mengaminkan ketika imam berdoa semasa khutbah Jumaat kerana termasuk dalam umum perintah untuk mengaminkan doa. Antara hujahnya:

Syeikh Bakar Abu Zaid berkata dalam Tashih al-Du’a bahawa mengaminkan termasuk dalam khususiyyat atau keistimewaan umat ini berdasarkan hadis daripada Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْيَهُودَ قَوْمٌ حُسَّدٌ ، وَهُمْ لَا يَحْسُدُونَا عَلَى شَيْءٍ كَمَا يَحْسُدُونَا عَلَى السَّلَامِ ، وَعَلَى آمِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya orang Yahudi kaum yang penuh dengan hasad dengki dan mereka tidak berhasad dengki kepada kami lebih daripada mereka berhasad dengki dalam isu amalan salam dan doa dengan amin.

BACA:  Trump Menandatangani Pengiktirafan Israel dan Tidak Endahkan Bantahan Dunia

Riwayat Al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (988),
Ibn Khuzaimah (574), Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (2649)

Mengucapkan amin (آمين) adalah disyariatkan ketika solat pada masa qunut termasuk qunut witir dan lainnya. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

قَدْ أُجِيبَت دَّعْوَتُكُمَا

Maksudnya: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua;

Surah Yunus (89)

Bahawa Nabi Musa AS berdoa sedangkan Nabi Harun mengaminkannya. Makanya Allah menamakan kedua-duanya (Nabi Musa dan Nabi Harun) sebagai yang berdoa.

Pendoa boleh juga menyebut amin (آمين) atas doa dirinya berdasarkan kepada hadis Abu Daud yang Nabi SAW menyebut wajib atau pasti diterima doa jika disudahi dengan perkataan amin (آمين). (Lihat Sunan Abi Daud, nombor 938)

Justeru, menyebut amin (آمين) ketika khatib berdoa pada masa khutbah Jumaat adalah dibolehkan, bahkan dengan memahami himpunan hadis yang kami nyatakan hadis di atas jelas menunjukkan bahawa ia termasuk dalam adab doa dan salah satu asbab doa diterima.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin.

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel