≡ Menu

5 Sebab Anda Dilarang Hembus Hidung Terlalu Kuat! Sungguh Bahaya!


Walaupun agak menggelikan bagi orang lain yang melihat atau mendengarnya, perbuatan menghembus hingus mungkin nampak tidak membahayakan bagi seseorang yang mengalami selesema. Namun begitu, sebenarnya keselamatan dan kebersihan membuang hingus itu bergantung kepada betapa kuat anda menghembus.

hidung tersumbat cara menghembus hidung dengan betul

Selesema boleh terjadi atas pelbagai sebab. Antaranya ialah kesejukan, jangkitan sinus, alahan atau disebabkan menangis secara berpanjangan.

Apa sahaja puncanya, hidung akan menjadi tersumbat dan melelehkan hingus tanpa henti. Sudah pasti anda mahu menghembusnya sepuas hati untuk kelegaan, namun sejauh manakah suatu hembusan hingus yang kuat boleh memberikan kesan buruk kepada penghidap selesema?

1. Keretakan tulang
Muka seseorang manusia penuh dengan puluhan tulang-tulang kecil di bahagian tengkorak. Tulang di sekitar soket mata, sinus dan rongga hidung, misalnya, adalah sangat nipis. Disebabkan berlaku kesesakan di bahagian hidung akibat hingus yang terkumpul dan saluran yang tersumbat, seluruh kawasan tersebut mengalami tekanan yang sangat tinggi.

Misalnya dalam satu kejadian yang berlaku pada tahun 2017, seorang wanita berusia 36 tahun dari United Kingdom mengalami keretakan tulang di soket matanya akibat menghembus hidung terlalu kuat. Setelah dibuat imbasan, doktor menyatakan bahawa kesan retakan itu adalah sama impaknya seperti satu tumbukan.

Menurut Dr. David King, pensyarah kanan dari Program Perubatan University of Queensland, Australia, walaupun amat jarang berlaku, hembusan hidung kuat-kuat yang berpanjangan dan berulang-ulang boleh mengakibatkan fraktur stres sebagaimana tulang rusuk yang boleh retak akibat perbuatan yang hampir serupa iaitu batuk kuat berulang-ulang dan berpanjangan. Ini disebabkan kedua-dua hembusan hidung dan batuk yang kuat menyebabkan tekanan tinggi di bahagian rongga masing-masing.

2. Jangkitan sinus atau telinga
Menurut satu kajian yang dijalankan oleh University of Virginia School of Medicine pada tahun 2000, menghembus hidung secara agresif boleh mencipta tekanan yang cukup untuk memindahkan mukus dengan pantas dari rongga hidung ke dalam bahagian sinus.

BACA:  Menyusu Badan Adalah Hak Bayi! Ketahui Perkara Yang Bersabit Dengan Penyusuan Badan Dalam Islam

Kajian itu bagaimanapun tidak menguji sejauh mana keadaan ini membahayakan nyawa namun ramai pakar perubatan mempercayai bahawa bakteria atau virus yang terkandung di dalam hingus itu sendiri boleh menyebabkan jangkitan sinus yang digelar sinusitis. Begitu juga dengan perbuatan meniup hidung secara agresif yang boleh menghantar bakteria ke bahagian dalam telinga yang akhirnya boleh mengakibatkan jangkitan lain.

3. Gegendang telinga pecah
Usah khuatir, gegendang telinga tidaklah begitu lemah kejadiannya sehingga mudah pecah setiap kali anda menghembus hingus. Walau bagaimanapun, perubahan drastik terhadap tekanan di belakang gegendang itu secara berulang-ulang dan berterusan mungkin boleh menyebabkan gegendang telinga pecah akibat mengalami trauma.

menghembus hingus dengan kuat boleh menyebabkan gegendang telinga pecah

Kebarangkalian ia untuk berlaku mungkin sangat rendah, namun tiada salahnya jika kita berhati-hati semasa membuang hingus, terutama sekali bagi mereka yang sedang sembuh daripada kondisi kebocoran gendang telinga ini.

4. Hidung berdarah

Tahukah anda, terdapat beratus-ratus salur darah halus di bahagian hidung dan sinus seorang manusia? Jadi, apabila anda menghembus nafas dengan kuat ketika selesema, ia boleh menyebabkan satu atau beberapa salur darah mengalami ruptur. Situasi lebih ‘digalakkan’ dengan keadaan hidung yang kering atau bahagian dalaman hidung yang sudahpun terlebih sensitif disebabkan demam selesema.

Pendarahan hidung ini bagaimanapun akan sembuh dengan cepat dan ia tidaklah berbahaya (melainkan anda mempunyai masalah lain yang sedia ada yang boleh menambahburukkan keadaan, seperti pengambilan pencair darah umpamanya.)

5. Kemungkinan kejadian paling buruk
Kebarangkalian berlakunya kejadian paling tidak diingini sekiranya anda menghembus hingus dengan terlampau kuat adalah sangat tipis namun terdapat juga kes-kes di mana individu terpaksa bergegas ke hospital kerana mengalami sakit kepala yang teruk selepas menghembus hidung dengan amat kuat. Keadaan itu telah menyebabkan udara dipaksa masuk ke bahagian ruang di antara tengkorak dan otak.

Satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2015 dalam The Journal of Pediatrics menunjukkan yang hembusan hidung dengan kuat juga boleh menyebabkan udara masuk ke ruang di antara dua lobus paru-paru. Selain itu, ia juga diketahui boleh merosakkan esofagus.

BACA:  Ayat al-Quran Untuk Rawatan Kanser

Sudah pasti kita semua mahu mengelakkan hembusan hingus yang ‘biasa’ menjadi buruk sampai ke tahap ini.

Kaedah Betul Membersihkan Hidung Ketika Selesema

Jadi, bagaimanakah cara yang betul untuk menyelesaikan masalah hidung berhingus dan tersumbat?

Anda bukanlah dilarang terus daripada menghembus hingus. Anda juga tidak perlu takut membersihkan hidung sekiranya mengalami selesema. Apa yang anda hanya perlu lakukan ialah menghembuskan hidung dengan memberi tumpuan pada satu lubang hidung pada satu-satu masa.

Tapi bagaimana untuk tahu jika hembusan itu mula bertukar ‘ganas’?

Menurut Dr. King, tidak ada nilai tertentu yang dianggap kuat atau keterlaluan apabila menghembus hidung, jadi ia bukanlah suatu persoalan yang boleh dijawab dengan mudah. Walau bagaimanapun, daya yang diperlukan untuk bergerak melalui sesebuah tiub (iaitu saluran hidung) akan meningkat sekiranya diameter semakin berkurangan. Maka, menghembus hidung dengan kuat untuk mengatasi masalah hidung tersumbat mungkin bukanlah cara terbaik.

Sebaliknya, Dr. King memberi saranan agar pesakit memulakan rawatan untuk menangani punca hidung tersumbat itu terlebih dahulu. Dari segi perubatan, penyembur atau tablet dekongestan boleh digunakan sebagai penyelesaian paling pantas. Untuk merawat keadaan hidung berair dan tersumbat itu pula, pesakit boleh mengambil ubat seperti antihistamin atau semburan steroid dengan nasihat doktor. Hidung tersumbat yang disebabkan mukus tebal dan pekat yang menyempitkan saluran pernafasan itu juga seelok-eloknya dirawat menggunakan semburan nasal bergaram.

Selain itu, anda juga boleh menangani sendiri masalah hidung tersumbat di rumah dengan mandian air panas, rawatan mengewap muka, menyapu atau menghidu minyak kayu putih dan juga menggunakan pelembap udara (humidifier).

Apabila hidung sudah kurang tersumbat, barulah anda boleh mulakan rawatan hembusan hidung.

Minat menulis artikel? Inilah peluang untuk anda. Hantar artikel anda di sini: www.islamituindah.info/hantar-artikel


error: Content is protected !!