≡ Menu

3 Sebab Perlunya Anda Menjaga Bicara Daripada Mencarut

“ANDA DILARANG MENCARUT”

“Eleh, mencarut aje.”

Ya, nampak remeh. Malahan, terlalu ramai yang memandang enteng tentang mencarut. Sedar ataupun tidak, masyarakat kita berada di tahap kritikal.

Kita sebenarnya terdedah kepada budaya mencarut yang makin menjadi-jadi. Ianya sangat-sangat parah!

Bukan setakat golongan remaja dan dewasa sahaja yang mencarut. Bahkan, juga kanak-kanak sudah pandai mencarut.

Dari mana mereka belajar untuk mencarut? Terkejut, kecewa dan pedih sekali apabila terdengar carutan daripada golongan kanak-kanak.

Kaum perempuan yang lemah-lembut turut terlibat sama dalam mencarut. Memang hanya segelintir, tetapi ianya menunjukkan sesuatu yang tidak baik. Sayang sekali, muka cantik tetapi tutur kata?

Tambah pula, hampir setiap hari kedengaran carut-carutan mahupun ayat-ayat mencarut yang tersebar di sosial media.

Cuba perhatikan sungguh-sungguh. Memang banyak! Jadi, mengapa perlunya kempen ini?

#1 -Boleh Memutuskan Hubungan Silaturrahim

Mencarut dan mengeluarkan kata-kata yang tidak sedap didengari serta perkataan lain yang kotor adalah buruk lagi tercela.

Malah, tahukah kita tentang perasaan seseorang apabila kita mencarut di hadapannya?

Seseorang itu mungkin akan terasa hati lalu menimbulkan rasa tidak selesa dan sebagainya. Manusia ini sememangnya berbeza-beza. Ada yang terlampau sensitif, ada juga yang kental mahupun tiada emosi.

Jadi, hubungan yang dibina mungkin akan terputus disebabkan mencarut pada bila-bila masa sahaja.

Di samping itu, kita sudah membuatkan iblis gembira apabila mencarut. Apatah lagi jikalau hubungan silaturahim yang terputus.

Iblis tentu berpesta sakan. Maka, sanggupkah kita membiarkan iblis seronok melihat kita yang berpecah-belah?

BACA:  Hukum Jemaah Makan Hidangan Tuan Rumah Yang Mengundang Untuk Berdoa

Jadi, ayuh sama-sama kita berbicara yang baik-baik demi mengelakkan terputusnya silaturrahim. Rasulullah S.A.W bersabda;

“Tidak akan masuk Syurga bagi yang memutuskan silaturahim”
Hadis Riwayat Al-Imam Muslim

#2 – Membiasakan Diri Dengan Tutur Bicara Yang Baik Itu Juga Ibadah

Mulut merah, nampak indah dilukis pada wajah. Keindahannya lebih menyerlah jika kita menggunakan anugerah mulut dengan baik sekali.

Terutamanya umat Islam iaitu dengan dilazimi dan dihiasi membaca Al-Quran serta berzikir termasuklah bercakap yang baik-baik.

Sesungguhnya, mulut merupakan suatu aset untuk kita merebut pahala. Ibadah bukanlah tertakluk hanya dengan solat, berpuasa dan melaksanakan haji sahaja.

Ibadah juga segala yang berkaitan dengan perkara yang dicintai dan diredai Allah S.W.T. Contohnya bertutur dengan perkataan dan perbuatan yang disukai Allah serta meninggalkan semua larangan-Nya.

Cuba kita bayangkan suasana di mana tiada lagi manusia yang mencarut di muka bumi ini. Alangkah bahagianya jika semua melakukan ibadah mulut. Ketenangan dan keharmonian pasti menjadi milik kita.

#3 – Menjauhkan Diri Daripada Berfikiran Negatif

Apabila kita mendengar orang mencarut, kita mungkin akan dijangkiti virus berfikiran negatif. Kalau kita sendiri yang mencarut?

Itu petanda bahaya, kerana kita akan menjadi orang yang selalu berfikiran negatif. Sampai satu masa, kita pula akan suka memandang negatif terhadap sesuatu perkara.

Sebagai contoh, Altery sedang mengalami tekanan dengan dirinya yang sukar untuk lulus dalam mata pelajaran bahasa Melayu.

Dia mencarut-carut pada diri sendiri. Mungkin dia akan rasa puas dengan mencarut, tetapi kepuasan itu tidak kekal untuk selamanya.

BACA:  Bohong Yang Dibenarkan Dalam Islam

Dengan carutan itulah boleh menyebabkan dia berputus asa kerana merasakan dirinya begitu teruk.

Oleh itu, sebaik-baiknya kita menegur mereka yang sedang mencarut. Virus mencarut ini pantas dan berbahaya.

Sebelum mereka dijangkiti fikiran negatif, lebih baik kita bertindak cepat untuk menyelamatkan mereka. Ataupun jika kita sendiri yang mencarut dengan tidak sengaja, istighfarlah segera.

Maka, latihlah diri untuk sentiasa menggunakan perkataan-perkataan yang boleh menimbulkan rasa positif.

Katakan Tidak Pada Mencarut

Kita tidak perlu menjadikan mencarut sebagai kebiasaan dalam kehidupan seharian kita.

Berhentilah mencarut, ianya sebenarnya cukup mudah. Kita tidak perlu mengumpulkan wang berjuta-juta untuk menghentikan ketagihan mencarut. Percuma sahaja. Semuanya terpulang pada diri sendiri. Sama ada mahu berhenti ataupun tidak.

Sejujurnya, kata-kata yang baik terdengar lebih indah. Carut-carutan pula sememangnya kedengaran kasar dan terkadang memedihkan hati.

Justeru, gunakanlah perkataan yang mampu mendatangkan manfaat iaitu kata-kata yang baik dan indah seperti;

“Astaghfirullah. Masya-Allah. Nauzubillah. Allahuakbar. Lailahailallah”

Ucaplah dengan kerap demi kesejahteraan diri daripada mencarut yang boleh merosakkan hati.

Siapa yang tidak mahu lidah yang suci dan pahala yang sedang menanti? Pasti ramai yang mendambakan kedua-dua hal tersebut.

Jom sama-sama banteras budaya mencarut! Allah S.W.T berfirman;

“Allah tidak menyukai perkataan buruk, (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Surah An-Nisa’, ayat 148

 

Sumber: Tazkirah.net 

{ 0 comments… add one }

Leave a Comment