Abu Dzar al-Ghifari - Pemilik kezuhudan Isa Alaihissalam

Kongsikan di

Nama sebenar beliau ialah Jundub bin Junadah. Antara yang terawal memeluk Islam, tetapi tidak bersama Nabi dari awal kerana diperintahkan untuk pulang ke penempatan kabilahnya al-Ghifar atas tujuan dakwah. Namun selepas itu, beliau menjadikan diri sebagai khadam baginda SAW sehinggalah wafat.

Dikenali sebagai seorang sahabat yang sangat zuhud. Nabi SAW pernah bersabda:

"Barangsiapa yang ingin melihat kezuhudan Nabi Isa bin Maryam, maka lihatlah kepada Abu Dzar."

Beliau seorang yang sangat takut kepada kekayaan. Bagi beliau, seseorang tidak wajar memiliki harta melebihi keperluan sehari semalam sahaja. Beliau sangat terkesan dengan ayat 34&35 Surah at-Taubah yang melarang menyimpan harta emas dan perak.

Beliau juga dikenali sebagai peguam faqir miskin kerana sikapnya yang suka membela nasib orang miskin, walaupun dia sendiri tergolong di kalangan fakir miskin. Beliau menjadi tempat pengaduan orang miskin dan kemudian akan membawanya ke peringkat atasan

Dengan kezuhudan yang tinggi itu, beliau dikurniakan hati yang cekal dan sangat ikhlas terhadap Islam. Ketika perang Tabuk, Nabi perintah supaya tiada orang Islam yang mampu, berkecuali dari perang itu. Kecuali sesiapa yang tidak memiliki kenderaan, maka tidak boleh turut serta kerana perjalanan yang sangat jauh, paling jauh dalam sejarah perang Nabi SAW.

Abu Dzar ikut bersama pada awalnya, tetapi disebabkan haiwan kenderaan beliau yang lemah, beliau tertinggal jauh di belakang keseorangan. Para sahabat yang kasihan menyatakan perkara itu kepada Nabi tetapi baginda berkata:

"Jika Allah menghendaki kebaikan padanya, dia akan sampai juga tapi jika sebaliknya, dia tidak akan bersama."

Akhirnya Abu Dzar ambil keputusan turun dari haiwannya dan berjalan kaki mengejar rombongan tentera Islam. Rasulullah SAW ketika melihat kelibat Abu Dzar datang berseorangan dari belakang, merasa sangat terharu lalu bersabda:

"Rahmat Allah terhadap Abu Dzar. Beliau berjalan keseorangan, mati keseorangan dan dibangkitkan keseorangan."

Di zaman Saidina Uthman, beliau melihat umat Islam dalam kemewahan. Beliau yang tidak suka keadaan itu mengambil keputusan untuk keluar dari tempat tinggalnya di Syam menuju padang pasir tidak berpenghuni iaitu di Rabzah. Di sana beliau menghabiskan sisa-sia hidup bersama isteri jauh dari manusia lain.

Di saat kematian, isterinya menangis. Abu Dzar bertanya lalu isterinya menjawab:

"Bukan aku menangis kerana kamu akan mati. Tetapi kerana kita tidak memiliki sebarang kain untuk dijadikan kafan."

Kata Abu Dzar

"Baringkan aku di tengah padang pasir. Nanti akan ada orang yang lalu di sini dan mereka akan menguruskan aku."

Si isteri melakukan wasiat Abu Dzar. Tidak lama selepas dibawa ke tengah padang pasir, lalu serombongan umat Islam disertai oleh Abdullah Ibn Mas'ud. Tatkala menyedari jasad kaku itu adalah Abu Dzar, beliau menangis dan mengatakan:

"Benarlah sabda Rasulullah SAW. Dia berjalan sendirian, mati sendirian dan dibangkitkan sendirian"

Islam sebenarnya kaya dengan tokoh yang ramai. Tidak perlu berbangga dengan tokoh-tokoh lain. Abu Dzar boleh dijadikan ikon pejuang rakyat yang berjiwa rakyat sebenar. Membela nasib rakyat bukan untuk dirinya. Bukan ikon sosialis seperti Lenin atau Staling yang mendakwa pembela marhaen dan warga buruh, tetapi hakikatnya mengumpul kekayaan dari kepercayaan yang diberikan.

Sumber: https://www.facebook.com
loading...

0 Response to "Abu Dzar al-Ghifari - Pemilik kezuhudan Isa Alaihissalam"

Post a Comment