≡ Menu

Tahun Ini Ramadhan Berbeza Dari Sebelumnya.

Ketibaan Ramadan ketika COVID-19 melanda dunia tidak memungkinkan umat Islam menyambutnya seperti biasa.

Ramadan tanpa majlis iftar, Tarawih secara berjemaah, beriktikaf dan bertadarus di masjid atau surau pastinya dirasakan janggal.

Begitu juga masjid yang diimarahkan pada Ramadan menjadi sunyi dan sepi. Ini menimbulkan kesedihan tidak terucap.

Namun, perbezaan menyambut kedatangan Ramadan perlu diterima hati terbuka. Agama mengajar kita memelihara kemaslahatan lebih utama, iaitu nyawa yang menjadi perkara daruri.

Nyawa sebagai antara prinsip dipelihara Maqasid Syariah (tujuan syariah). Dengan terpelihara nyawa atau diri, agama yang menjadi satu lagi prinsip dipelihara syariah akan turut terbela.

Penangguhan semua aktiviti ibadat secara berjemaah seperti diputuskan bertujuan memelihara nyawa dan mengelakkan penyebaran wabak.

Institusi fatwa peringkat antarabangsa dan tempatan mengeluarkan pandangan sebagai panduan masyarakat awam.

Antaranya, Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Malaysia, Majlis Ugama Islam Singapura, Hai’ah Kibar Ulama’ al-Azhar al-Syarif, Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait, Majlis ‘Ilmi Fiqhi serta Kementerian Waqaf Syria dan Kesatuan Ulama Syam.

Rumusan fatwa dikemukakan itu antara lain, penangguhan ibadah seperti solat berjemaah dan solat Jumaat (yang perlu digantikan solat Zuhur) buat sementara waktu diharuskan dari sudut syarak.

Begitu juga semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau. Ini mengambil kira kemudaratan diakibatkan wabak seperti disahkan pihak berkuasa kesihatan.

Meskipun pelaksanaan solat berjemaah ditangguhkan, azan mesti dilaungkan setiap waktu solat di setiap masjid.

Kedua, penghidap penyakit atau orang yang memiliki simptom wabak diharamkan dari sudut syarak untuk berada di tempat awam atau ke masjid.

Langkah pencegahan seperti kuarantin dan rawatan perlu diambil untuk memelihara kemaslahatan umum serta mengelakkan penularan wabak.

Tindakan kuarantin seumpama ini pernah dilaksanakan Ibnu Sina ketika wabak Black Death melanda Asia hingga Eropah dan mengorbankan 200 juta nyawa.

Ketiga, dari sudut syarak setiap warganegara bertanggungjawab mematuhi arahan dan panduan dikeluarkan Kementerian Kesihatan bagi mengekang penularan.

Umum mengetahui Islam ialah agama persaudaraan. Oleh itu, prinsip persaudaraan terserlah melalui ibadah disyariatkan seperti solat berjemaah.

Namun, Islam juga menekankan keprihatinan terhadap keselesaan dan kesejahteraan anggota jemaah lain.

Nabi SAW pernah mengingatkan individu yang memakan bawang putih atau merah tidak ke masjid. Tegahan itu bertujuan mengelakkan ketidakselesaan dan gangguan ketika menunaikan solat secara berjemaah.

Jika bau tidak menyenangkan pun ditegah Nabi SAW, apatah lagi membabitkan penyakit dan wabak yang boleh membawa maut.

Fatwa yang dikeluarkan pada peringkat tempatan dan antarabangsa itu juga dapat dijadikan panduan bagi pelaksanaan ibadah yang lazimnya dilaksanakan di masjid sepanjang Ramadan.

Seperti ditekankan dalam fatwa daripada Hai’ah Kibar Ulama al-Azhar al-Syarif, solat berjemaah tidak semestinya di masjid, sebaliknya boleh dilaksanakan di rumah bersama keluarga selagi sekatan perjalanan masih berkuat kuasa.

Keharusan solat berjemaah di rumah, termasuk solat Tarawih pernah dinyatakan ulama Mesir terkenal, Almarhum Sheikh Atiyyah Saqr, iaitu

Beliau berkata, meskipun solat tarawih lebih afdal di masjid kerana ia sebaik-baik lembah di bumi, ia boleh dilaksanakan di kediaman masing-masing kerana hakikatnya bumi Allah SWT seluruhnya masjid.

Ramadan tiba dengan jaminan keampunan dan limpahan rahmat Ilahi pasti lebih bermakna. Inilah peluang untuk bertaubat dan memohon keampunan, sekali gus mendoakan kesejahteraan penduduk dunia agar bebas wabak.

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Bazl al-Ma’un fi Fadl al-Ta’un menyebut beberapa tindakan diambil penduduk Mesir ketika dilanda wabak taun pada 449 Hijrah yang mengorbankan 80,000 orang.

Penduduk Mesir berkumpul membaca surah Nuh dan Sahih Bukhari, selain berdoa dengan penuh pengharapan.

Apabila keadaan tidak reda, mereka membaca kunut dalam solat dan doa serta berpuasa. Ini menjadikan jiwa mereka begitu pasrah, khusyuk, tawaduk dan kembali kepada Allah SWT dengan penuh keinsafan.

Imam Ahmad Ibnu Hanbal turut merujuk tindakan Khalifah Umar Abdul Aziz ketika menghadapi gempa bumi, iaitu dengan bersedekah dan berdoa seperti dianjurkan dalam al-Quran: Wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami. (Al-A’raf: 23)

Menurut Imam Ahmad, tindakan Umar itu harus diteladani meskipun bentuk musibah berbeza kerana kedua-duanya menimbulkan ketakutan.

Pergerakan terhad tidak menjadi halangan untuk melaksanakan sedekah yang amat digalakkan pada Ramadan. Peluang ternyata luas pada saat ini dan tidak terhad dalam bentuk kewangan.

Dilaporkan, sebahagian masyarakat kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan. Sudah tentu sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu turut mengukuhkan inisiatif bantuan disediakan kerajaan.

Begitu juga khidmat sukarelawan dan kepakaran yang disumbang bagi membantu pasukan perubatan serta kesihatan dalam usaha menangani wabak.

Bersesuaian dengan Ramadan yang akhirnya ialah kemenangan menundukkan hawa nafsu, semoga akhir jihad menentang COVID-19, kita dikurniakan Allah kemenangan dan keselamatan daripada wabak ini.

Berdoalah Agar Vaksin Covid-19 Segera Ditemukan

VAKSIN bukan segala-galanya. Namun semua mengharapkannya, terutama untuk melihat vaksin COVID-19 berjaya dicipta dalam tempoh terdekat.

Mungkin anda pelik, mengapa tulisan saya sebegini kali ini. Seolah-olah saya tidak begitu mengharapkan sangat kewujudan vaksin dalam suasana pandemik COVID-19 masa ini.

Di sini perlunya kefahaman mantap bagi kita, bahawa vaksin itu antara bentuk ikhtiar. Jika ia berkesan, berkualiti dan selamat digunakan, baru kita boleh mencanangkan kepada masyarakat umum untuk mengambilnya.

Sekiranya baru pada peringkat fasa praklinikal atau ujian makmal atau fasa pertama yang hanya diuji atas sebahagian kecil manusia, tidak perlu dibanggakan lagi.

Malah, tidak perlu dicanangkan serata dunia bahawa kita sudah berjaya dan berbangga menemui kaedah untuk mencegah COVID-19.

Saya risau jika ia satu harapan palsu yang akhirnya kita tak boleh keluar daripada kemelut wabak yang semakin mengganas di atas muka bumi.

Apa pun yang terbaik buat kita adalah berdoa agar vaksin COVID-19 berjaya dihasilkan dan dikeluarkan untuk masyarakat dalam tempoh terdekat.

Dalam erti kata lain, vaksin akan dipasarkan nanti sudah tentu wajib menepati ciri. Yakni berkesan mencegah COVID-19, selamat digunakan, (di mana) kesan sampingan yang serius adalah boleh dihazafkan dan sudah tentu kaedah pembuatannya dikawal piawaian berkualiti.

Sehingga kini lebih 82 penyelidik atau organisasi seluruh dunia berusaha membangunkan vaksin COVID-19.

Peringkat keberjayaannya masih terlalu awal. Pada awal April lalu Amerika Syarikat mengumumkan sebuah organisasi pengkaji berjaya menguji vaksin ke atas manusia yang dibangunkan mereka.

Malangnya, ia tidak dibuat mengikut kaedah ketat seperti selalunya diwajibkan atas setiap organisasi penyelidik. Mereka masih belum melepasi kajian praklinikal sama ada ke atas cakera piring pateri atau haiwan, tetapi terus membuat dakwaan uji kaji ke atas segelintir kecil manusia (fasa 1).

Mungkin terlalu ghairah mendapatkan perhatian dunia bahawa mereka juara. Namun, seperti yang saya sebut peringkat awal tadi, perjalanan membina sesuatu ubat atau vaksin mesti melalui kaedahnya yang termaktub dalam disiplin kajian.

Perjalanan membangunkan sebotol vaksin yang berjaya paling kurang mengambil masa 18 bulan atau lebih. Contohnya vaksin BCG (bacille Calmette-Guérin) mula ditemui dan dicipta pada 1920, tetapi secara umum digunakan untuk khalayak ramai pada 1927 di negara Barat. Negara kita sendiri memulakan pemberian vaksin BCG pada 1961.

Adakah vaksin COVID-19 akan berjaya dalam tempoh terdekat atau kajian mengenainya akan terhenti? Atau mungkin mengambil masa berpuluh tahun sebelum ia selamat digunakan seperti vaksin lain yang sudah berada di pasaran kini?

June Almeida, seorang pakar virologi terkenal Eropah menemui virus Corona pada 1964. Penemuan beliau membuka mata dunia Barat bahawa wujudnya satu virus berlainan daripada influenza yang sebelum ini menjadi punca utama wabak seluruh dunia.

Saintis dan pakar perubatan mempunyai cabaran besar bagi mencari formula baharu bagaimana berlawan dengan makhluk yang tidak nampak pada mata kasar.

Kajian ke arah pembinaan vaksin bagi melawan virus Corona sudah banyak dilakukan, tetapi kebanyakannya menemui jalan buntu.

Kita semua tahu kisah keluarga virus Corona ini sudah pun menyerang dunia sejak 1960. Nama wabak yang besar adalah Common Flu, SARS, MERS-Cov.

Sehingga kini tiada kejayaan boleh dibanggakan berkaitan pembuatan vaksin atau seumpamanya yang boleh mencegah keluarga virus Coronaviridae ini terus menjalar memusnahkan manusia.

Pengkaji atau syarikat ubat sedang berlumba membuat vaksin bagi mencegah virus itu. Wabak SARS yang melanda dunia pada 2002 hingga 2003 menjangkiti hampir 80,000 manusia dan menyebabkan lebih 2,000 kematian. Sehingga kini vaksin untuk SARS belum berjaya dipasarkan.

Kajian itu terhenti sebab SARS hanya melanda secara hirisan lintang tahun yang spesifik, bukannya sepanjang zaman.

Begitu juga pengkajian dan pembinaan vaksin MERS-Cov. Ia tidak berbaloi diteruskan kerana sudah tidak menjadi keperluan mendesak.

Wabak MERS-Cov hanya berlaku pada 2012 dan 2013. Persoalannya, adakah vaksin COVID-19 mempunyai nasib sama?

Kita tunggu dan lihat. Tetapi tetap dalam benak kita menggunung harapan supaya vaksin COVID-19 itu berjaya dan menjadi solusi ampuh bagi membebaskan semua daripada penularan digeruni ini.

Buat masa ini, kita jangan lupa, ‘vaksin’ yang terbaik adalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penjarakan sosial, amalan kebersihan dan berubah kepada budaya baharu dalam masyarakat.

Sememangnya Trend Covid-19 Menurun Di Malaysia, Tetapi Jika Kita Leka, Ia Masih Boleh Meningkat Lagi

KES baharu bagi jangkitan koronavirus baharu (Covid-19) boleh meningkat dalam tempoh dua minggu akan datang selepas aktiviti pengesanan giat dijalankan, terutama ke atas rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia termasuk pengesanan di lokaliti yang terbabit di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Katanya, selaras dengan tren penurunan kes jangkitan Covid-19, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan seluruh rakyat Malaysia untuk tidak mengambil mudah serta merasa selesa dengan keberkesanan pengekangan jangkitan Covid-19 yang dicapai setakat ini.

“Perjuangan kita masih berbaki dan pastinya masih belum tamat.

“Teruskan usaha membantu Kerajaan dalam memastikan rantaian jangkitan Covid-19 ini dapat diputuskan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, penurunan jumlah kes harian yang dapat dilihat sejak kebelakangan ini adalah hasil daripada tindakan proaktif dan agresif dalam mengesan kes yang dijalankan, terutama dalam tempoh dua minggu yang lalu.

Hikmah Disebalik PKP, Jenayah Di Selangor Menurun

STATISTIK jenayah indeks di Selangor sejak awal Januari hingga semalam mengalami penurunan sebanyak 18.31 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Jurucakap Khas Op COVID-19 Polis Selangor Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, sebanyak 4,675 kes jenayah indeks direkodkan pada 1 Januari hingga semalam berbanding 5,723 kes pada tahun lalu.

“Secara pecahan, jenayah kekerasan menurun sebanyak 22.9 peratus iaitu daripada 1,292 kes tahun lalu kepada 995 kes untuk tahun ini.

“Jenayah harta benda, berlaku penurunan kes sebanyak 16.95 peratus iaitu 4,431 kes (2019) kepada 3,680 kes (2020) dan jenayah jalanan merekodkan penurunan sebanyak 28.18 peratus daripada 866 kes kepada 622 kes,” katanya ketika sidang media Op COVID Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, pihaknya masih membuat kajian mengenai punca penurunan kes jenayah indeks dan tidak menolak kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi antara faktor penurunan.

Menurutnya, ia berikutan masyarakat kurang keluar seterusnya risiko untuk menjadi mangsa jenayah indeks juga berkurangan.

Sementara itu, Muhammad Yazid berkata, sebanyak 2,771 laporan diterima pihaknya sepanjang tempoh PKP.

“Sehingga semalam, kita melakukan 3,431 tangkapan kerana ingkar PKP dan 1,573 kertas siasatan sudah dibuka.

“Semalam, kita menangkap 214 orang yang mana 82 daripadanya adalah warga asing.

“Tangkapan itu menjadikan keseluruhan warga asing yang ditahan kerana ingkar PKP sejak 18 Mac lalu adalah seramai 1,400 orang,” katanya.

Menurutnya, Polis Selangor juga meningkatkan sekatan jalan raya kepada 101 lokasi di seluruh negeri.

Pembayaran Zakat Fitrah Pada Tahun Ini Mungkin Diadakan Secara Dalam Talian

MAJLIS Agama Islam negeri dan agensi mengutip zakat digalakkan mengadakan inisiatif pembayaran zakat fitrah secara dalam talian pada Ramadan nanti bagi mengekang pandemik Covid-19.

Tiada sebarang perkhidmatan kaunter zakat fitrah di tempat tumpuan awam seperti di pasar raya bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bayaran secara dalam talian akan memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan dengan lebih pantas dan selamat bagi memutuskan pandemik berkenaan.

Menurutnya, untuk golongan yang tidak mahir dalam teknologi maklumat (IT), perkhidmatan pembayaran zakat fitrah melalui amil boleh diadakan tetapi ia perlu diadakan pada tahap paling minimum.

Katanya, segala arahan dan tatacara kawalan seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dipatuhi jika urusan cara ini (amil) diadakan.

“Selain itu, terdapat beberapa beberapa cadangan pelaksanaan bayaran seperti pandu lalu, kutipan dari rumah ke rumah.

“Proses pembayaran cara itu perlu dilakukan dalam tempoh yang singkat, selain memastikan pembayar dan amil sentiasa menjaga kebersihan, memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Pembayar juga digalakkan untuk menyediakan wang secukupnya dan tidak perlu bersalaman ketika membuat pembayaran dan segera beredar selepas selesai urusan,” katanya.

Zulkifli berkata demikian menerusi status yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya hari ini.

Menurutnya, sekiranya amil atau pembayar berada dalam keadaan tidak sihat, mereka tidak dibenarkan memungut atau menunaikan zakat fitrah pada ketika itu.

Katanya, individu yang disahkan positif atau baru sembuh Covid-19 serta termasuk dalam kategori pesakit dalam siasatan (PUI) perlu mewakilkan pembayaran kepada ahli keluarga atau waris yang sihat.

Masihkah Ada Peluang Untuk Menunaikan Haji Tahun Ini? Berdoalah Agar Wabak Ini Segera Berakhir

KUALA LUMPUR – Belum ada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berhubung penangguhan ibadah haji bagi tahun ini berikutan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, penjelasan terkini itu diperoleh hasil pertemuan beliau bersama Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan semalam.

Terkesan dengan wabak Covid-19, Arab Saudi memutuskan menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat pergerakan keluar masuk ke beberapa bandar raya termasuk Makkah dan Madinah.

Pada bulan lepas, Arab Saudi juga menghentikan kemasukan jemaah umrah untuk sepanjang tahun ekoran kebimbangan terhadap penularan Covid-19.

“Bertitik tolak daripada hal tersebut, saya telah mengadakan pertemuan bersama Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia pada 7 April dan berdasarkan penjelasan beliau, belum ada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkenaan penangguhan ibadah haji bagi tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Dr Zulkifli menasihati seluruh umat Islam supaya tidak menyebarkan sebarang khabar angin berkenaan hal tersebut.

“Sama-samalah kita berdoa agar ALLAH SWT menghilangkan wabak Covid-19 dan memelihara dua kota suci umat Islam daripada sebarang perkara yang tidak diingini.

“Semoga dengan doa dan munajat kita, pelaksanaan ibadah haji pada tahun ini dapat direalisasikan dengan izin-NYA. Aamiin,” katanya. – Bernama

Ibnu Tufail, Ilmuwan Islam Yang Pakar Dalam Pelbagai Bidang

MENYINGKAP semula lembaran sejarah peradaban Islam, nama Ibnu Tufail tercatat antara cendekiawan Muslim yang masyhur. Tokoh itu dikenali sebagai seorang penulis, novelis, ahli agama dan doktor oleh seantero dunia.

Masakan tidak, beliau terkenal dengan kepakarannya dalam bidang falsafah, sastera, ilmu matematik, astronomi dan perubatan. Bahkan, ilmu pengetahuan yang dimilikinya memang diperakui oleh sarjana Islam dan Barat. Namanya begitu gah sekitar abad ke-12 Masihi.

Pemilik nama sebenar Abu Bakr Muhammad ibn Abdul Malik ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Tufail al-Qisi itu dilahirkan di Asya, Granada sekitar 1106 Masihi.

Pun demikian, ilmuwan berketurunan Arab Qais itu tidak dapat dipastikan keseluruhan latar belakangnya. Ia disebabkan keterbatasan maklumat mengenainya.

Bagaimanapun, Ibnu Tufail merupakan tokoh yang disegani dan berpengaruh ketika hayatnya berdasarkan catatan sejarah. Darjah kemasyhurannya boleh diukur apabila beliau turut dikenali di dunia Barat sebagai Abubacer.

Menelusuri kehebatannya dalam bidang perubatan, Ibnu Tufail pernah menjadi doktor peribadi kepada pemerintah al-Muwahidin, Abu Ya’kub Yusuf Al-Manshur yang merupakan khalifah Maghribi kedua daripada Dinasti Muwahhidun (1163-1184 Masihi). Kepakaran yang dimiliki dengan berkat kesungguhan yang ditunjukkan Ibnu Tufail telah mengangkatnya menjadi doktor peribadi kepada gabenor dan dua wilayah iaitu Sabtah dan Thaniah.

Beliau juga bukan calang-calang orang. Ilmuwan hebat itu pernah dilantik sebagai menteri selain dikenali sebagai ahli politik yang dihormati.

Kepakaran yang dimiliki Ibnu Tufail tidak terhenti di situ. Beliau dikurniakan bakat untuk menulis. Namun sayangnya, karya-karya yang dihasilkannya banyak yang telah hilang. Ia ekoran kejadian kekacauan dan peperangan yang berlaku di Maghribi suatu masa dulu.

Gaya penulisan luar biasa

Jika diselak kembali lembaran historiografi, Ibnu Tufail sebenarnya begitu gemar dan cenderung untuk menulis. Menurut Abdul Wahid Al-Marakasy, Ibnu Tufail telah meriwayatkan banyak buku yang telah dibaris dengan tangannya sendiri dalam bidang falsafah, ilmu jiwa dan pelbagai syair.

Meskipun banyak menulis buku, ada satu kitab tulisan Ibnu Tufail yang begitu popular iaitu Hay Ibn Yaqzan. Apa tidaknya, tokoh hebat itu memuatkan pandangannya dengan gaya bahasa yang menarik dan imaginasi yang indah.

Tidak keterlaluan jika dikatakan buku itu dianggap sebagai warisan paling unik tinggalan seorang ahli falsafah Islam yang tersohor.

Hasil nukilannya dalam buku berkenaan, Ibnu Tufail berusaha menerangkan bagaimana manusia berpotensi mengenal ALLAH dengan membuat penelitian terhadap alam sekitar dan di sekelilingnya.

Beliau tidak menyatakan secara terus berhubung perkara itu. Sebaliknya, ia disampaikan menerusi watak Hay Ibn Yaqzan yang hidup di sebuah tempat terpencil dan bagaimana dia meneruskan kelangsungan hidupnya dengan pimpinan akal dan bantuan pancaindera.

Ya, gaya penulisan Ibnu Tufail dalam bentuk novel dan falsafah menerbitkan aura yang luar biasa. Buku ilmuwan tersohor itu banyak diterjemahkan dan dialih bahasa antaranya bahasa Latin dan Inggeris.

Buku itu turut menukilkan pengamatan Ibnu Tufail mengenai ilmu metafizik, fizik dan sebagainya. Tokoh itu melihat alam semesta sebagai baru dan ditadbir oleh Tuhan yang satu dan berkuasa, manakala dalam diri manusia pula terdapat roh yang menjadi asas kepada kehidupan mereka di muka bumi ini.

Meskipun ada yang menganggap pandangan dikemukakan merupakan perkara biasa pada hari ini, namun ketahuilah bahawa ia sebenarnya telah menyediakan landasan kepada ahli sains untuk melakukan kajian dan fenomena yang berkaitan dengannya.

Pada 1185 Masihi, Ibnu Tufail dilaporkan meninggal dunia di Maghribi. Sesungguhnya kelahiran Ibnu Tufail memberikan 1,001 rahmat buat manusia sejagat. Kecintaan beliau kepada buku-buku dan ilmu pengetahuan mengangkatnya sebagai seorang tokoh yang disegani dalam pelbagai bidang. PROFIL

Nama: Abu Bakr Muhammad ibn Abdul Malik ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Tufail al-Qisi

Gelaran: Ibnu Tufail dan Abubacer

Tahun kelahiran: 1106 Masihi

Tahun kematian: 1185 Masihi

Kepakaran: Falsafah, sastera, ilmu matematik, astronomi dan perubatan

Sumbangan: Pemikir yang banyak menghasilkan karya dalam bidang falsafah, sastera, ilmu matematik, astronomi dan perubatan.

Karya agung: Hay Ibn Yaqzan yang menerangkan bagaimana manusia mempunyai potensi untuk mengenali ALLAH dengan membuat penelitian terhadap alam sekitar dan sekelilingnya.

‘No Pork’ atau ‘Pork Free’ Tidak Menjamin 100% Halal. Waspadalah

APABILA melalui deretan restoran di premis perniagaan atau pusat beli-belah, perasan atau tidak, kadangkala terpampang tanda tulisan no pork dan pork free.

Sekali pandang, restoran itu nampak begitu meyakinkan kerana tidak menyajikan makanan yang haram di sisi agama Islam iaitu daging khinzir.

Persoalannya, bolehkah kita makan di kedai berkenaan? Adakah restoran berkenaan berstatus halal? Apa pula hukumnya jika kita makan di kedai tersebut?

Mengulas lanjut jawapannya, pendakwah yang juga pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr Fitri Haris mengajak kita untuk menelusuri dahulu tentang status halal.

Ujar beliau, seantero dunia termasuk Malaysia menggunakan status halal termasuk di premis makanan.

“Ia sebagai satu penanda aras bahawa restoran tersebut menggunakan 100 peratus barang-barang yang halal,” katanya merungkaikan persoalan berkenaan dalam segmen Soal Jawab Netizen pada hari ini.

Hasil pembacaan Fitri tentang restoran yang menggunakan tanda no pork atau pork free daripada seorang cef terkemuka dan beberapa artikel lain, beliau menyimpulkan kebarangkalian besar bahawa pengusaha premis perniagaan berkenaan tidak mendapat sijil halal yang jelas.

“Ini kerana, ada percampuran (dalam produk dijual). Umpamanya, kedai itu menjual minuman arak di satu bahagian kedai. Satu bahagian lagi mereka betul-betul jaga, maknanya menggunakan ayam yang disembelih, kuali yang bersih dan diasingkan antara benda yang halal dan tidak halal.

“Walaupun ia sudah elok diasingkan, namun ada benda-benda lain yang mana ia tidak 100 peratus halal. Sebab itu mereka letak (tanda) pork free kerana tidak menggunakan 100 peratus halal di dalam kedai tersebut,” terangnya.

Dalam hal itu, beliau menasihatkan kita agar memilih kedai yang jelas dari segi status halalnya.

“Ia termasuklah bahan yang digunakan dan sebagainya. Namun, jika kedai itu dekat dengan kampung kita contohnya (kedai) mak cik yang tiada tanda halal, itu cerita lain.

“Kalau kita yakin, tahu latar belakang mereka dan sebagainya serta menggunakan sumber yang halal, maka tidak perlulah sampai status halal,” jelasnya.

Tegas beliau, amat penting kita sebagai umat Islam prihatin tentang perkara yang melibatkan soal halal atau haram suatu makanan.

“Sebolehnya, pergilah ke kedai yang ada sijil halal. Ia penting bagi mengelakkan kita daripada memakan benda-benda yang meragukan.

“Bukan apa, ia dikhuatiri akan ‘menghitamkan’ hati kita. Apa yang kita makan itu akan jadi darah daging kita. Jadi, elakkan berbuat demikian,” tegasnya.

Contohi Korea Dalam Menangani Covid-19, Berkesan Walaupun Tanpa PKP

WABAK koronavirus (Covid-19) telah menimbulkan keresahan dan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Jumlah kes positif Covid-19 bertambah saban hari manakala jumlah kematian juga terus meningkat.

Pada 3 April 2020, mereka yang positif Covid-19 di Malaysia dilaporkan berjumlah 3,333 orang. Jumlah kematian pula adalah seramai 53 orang. Jumlah yang masih menunggu keputusan ujian saringan adalah seramai 8,265 orang.

Kerajaan terpaksa mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 16 Mac lalu kerana mereka tidak mahu Malaysia mengalami nasib yang sama seperti dialami Itali. Di negara itu, jumlah kematian terkini telah melebihi 14,000 orang.

Di Malaysia, wabak ini telah mendatangkan musibah yang berganda terutama bagi golongan yang kurang berkemampuan. Walaupun kerajaan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, masih ramai yang bimbang akan masa hadapan mereka. Mungkin ada juga yang bertanya, tidakkah Malaysia membuat sebarang persediaan untuk menghadapi wabak seperti Covid-19 sebelum ini?

Kenapakah Korea Selatan yang mempunyai jumlah kes yang jauh lebih tinggi pada awal penyebaran wabak itu dengan begitu mudah dapat menanganinya tanpa PKP yang begitu menyusahkan? Apakah rahsia mereka? Kenapa Malaysia tidak dapat meneladani Korea Selatan? Persoalan itu perlu dijawab.

Satu hal yang tidak dapat dinafikan ialah cara persediaan yang dilakukan oleh Korea Selatan untuk menghadapi wabak seperti Covid-19.

Persiapan yang dilakukan oleh negara itu kini diguna pakai sebagai kayu pengukur untuk negara lain.

Pengalaman

Apa yang dilakukan oleh Korea Selatan sebenarnya bukanlah satu rahsia. Orang Korea sama seperti orang Malaysia dari segi kecenderungan dijangkiti virus Covid-19 ini.

Malah, lebih banyak kes positif yang dikesan di Korea Selatan pada peringkat awalnya berbanding dengan Malaysia. Bagaimanapun, bilangan kes baharu di Korea Selatan menampakkan penurunan yang sangat ketara.

Perbezaan antara kita dengan Korea Selatan ialah cara pendekatan mereka dalam bersiap siaga menghadapi mana-mana wabak. Mereka belajar daripada pengalaman mengharungi wabak Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-Cov) pada tahun 2015.

Hasilnya, satu pelan tindakan dirangka dan ia melibatkan bukan hanya pihak yang bertanggungjawab untuk kesihatan seperti hospital dan klinik kesihatan tetapi juga tenaga kerja penyelidikan seperti di institusi pengajian tinggi. Turut sama adalah pihak industri seperti syarikat farmaseutikal dan peralatan kesihatan. Alat pelindung diri (PPE) yang canggih disediakan dalam jumlah yang banyak sejak awal lagi. Satu rangkaian makmal melakukan ujian juga diwujudkan supaya ujian makmal diagnostik boleh dilakukan dengan cepat.

Penyelidikan diberi keutamaan untuk menghasilkan ujian yang dapat dilaksanakan dengan cepat.

Pihak industri dilibat sama dalam pelan tindakan supaya peralatan untuk melakukan ujian makmal yang baharu boleh dikeluarkan sepantas mungkin. Penggunaan data raya dan teknologi maklumat diberi penekanan bagi mengesan kontak dengan lebih berkesan tanpa membuang masa.

Setiap bahagian dalam pelan kesiapsiagaan itu telah diatur secara terperinci dan ia terbukti amat berguna apabila wabak Covid-19 melanda negara mereka pada tahun ini.

Korea Selatan telah mengaktifkan pelan tindakan mereka tanpa perlu mengadakan mesyuarat demi mesyuarat sebelum sesuatu keputusan diambil.

Kesudahannya, dalam beberapa hari sahaja mereka berjaya melakukan ujian saringan ke atas lebih 10,000 orang setiap hari.

Paradigma

Mereka tidak menumpukan perhatian untuk mengesan kontak orang yang dijangkiti Covid-19 sahaja tetapi juga melakukan ujian saringan secara besar-besaran dengan menggunakan kaedah pandu lalu. Analisis data raya digunakan dalam skala besar. Itu membolehkan pihak yang berkenaan membuat ramalan dan seterusnya mengenal pasti siapa yang mungkin telah dijangkiti melalui kontak rapat mereka yang positif Covid-19.

Hasilnya, saringan dapat dibuat dengan begitu pantas dan pesakit yang dijangkiti terus dimasukkan ke hospital dan dirawat segera.

Kecekapan yang ditunjukkan oleh Korea Selatan ini dapat memastikan kadar kematian pesakit akibat Covid-19 mereka adalah antara yang paling rendah di dunia.

Setakat ini, Korea Selatan berjaya membendung wabak Covid-19 tanpa sebarang Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang telah terpaksa dilaksanakan di banyak negara.

Persoalannya sekarang adalah sama ada Malaysia boleh melakukan perkara yang serupa seperti Korea Selatan pada masa hadapan.

Untuk membolehkan itu berlaku, kita perlukan satu anjakan paradigma dan kesedaran bahawa pengendalian wabak adalah tanggungjawab peringkat kebangsaan dan bukan hanya terhad kepada satu-satu kementerian.

Sekarang telah tiba masanya untuk kolaboratif yang sebenar-benarnya antara sains kesihatan, sains data raya, industri, penyelidikan dan ekonomi. Hanya dengan cara bekerjasama dapat kita atasi masalah besar seperti musibah Covid-19 yang mencengkam bumi Malaysia tercinta ini.

Impak Covid-19 Terhadap Ekonomi Lebih Teruk Daripada Tahun 1998

WABAK koronavirus (Covid-19) yang baru menular sejak kira-kira tiga bulan lalu sudah melumpuhkan banyak ekonomi negara di seluruh dunia.

Krisis kesihatan itu memaksa lebih 3.9 bilion penduduk bumi dikuarantin di rumah masing-masing sehinggakan kegiatan ekonomi seolah-olah terhenti.

Kesan daripada wabak Covid-19, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berpendapat Malaysia mungkin mengalami kemelesetan ekonomi yang lebih teruk daripada krisis kewangan 1998-1999.

Lebih teruk lagi beliau memberitahu, bagi setiap AS$1 penurunan harga minyak mentah dunia sekarang, pendapatan Malaysia daripada hasil petroleum akan berkurangan kira-kira RM300 juta.

Dalam wawancara bersama Sinar Ahad menerusi e-mel minggu ini, Mustapa turut berkongsi pandangannya mengenai perubahan gaya hidup rakyat Malaysia ke arah pendigitalan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau juga menceritakan tentang jalan keluar yang dirancang kerajaan bagi mengurangkan impak berganda krisis kesihatan dan kemeseletan ekonomi yang berlaku sekarang.

SINAR HARIAN: Ramai orang berterima kasih dengan kerajaan yang mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 bilion. Pertama, ramai yang bertanya dari mana tiba-tiba kerajaan ada duit sebanyak itu dan keduanya, jika Covid-19 terus berlarutan sehingga beberapa bulan lagi, sampai bilakah kerajaan mampu memberi bantuan kepada rakyat?

MUSTAPA: Alhamdulillah, secara keseluruhannya kerajaan mendapat maklum balas yang positif daripada rakyat mengenai Pakej Prihatin, namun pada masa yang sama terdapat rungutan daripada beberapa pihak khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Kerajaan memberikan perhatian serius terhadap beberapa cadangan daripada PKS untuk diperincikan.

Prihatin melibatkan peruntukan sebanyak RM250 bilion. Dana RM25 bilion adalah daripada peruntukan kerajaan manakala RM50 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang sebahagian besarnya adalah pengeluaran i-Lestari. Selebihnya kebanyakannya adalah daripada bank-bank.

Keseluruhan pakej rangsangan tersebut adalah untuk tempoh enam bulan. Bagaimanapun, kerajaan akan menilai semula keadaan ekonomi dari masa ke masa sepanjang krisis kesihatan ini berlaku. Kerajaan cuba sedaya upaya berusaha untuk memastikan tidak ada siapa pun yang akan tercicir dan ada makanan di atas meja rakyat.

Covid-19 telah mengubah gaya hidup dan ekonomi kita terutamanya dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila orang tidak keluar membeli-belah, bercuti dan sebagainya. Selepas PKP ini, bagaimana kita boleh pulih dan berapa lama jangkaan Datuk Seri ekonomi kita akan pulih?

Gaya hidup rakyat Malaysia sudahpun berubah akibat Covid-19. Penggunaan aplikasi semakin meluas. Apabila berlaku krisis ini, dunia digital semakin penting. Kita tidak boleh bergerak ke sana ke sini dengan bebas bagi memutuskan rangkaian penyebaran Covid-19. Namun kita dapat belajar satu perkara yang penting iaitu pendigitalan. Mesyuarat diadakan secara sidang video; bekerja dan belajar dari rumah serta menempah barangan melalui online.

Malaysia mempunyai kadar penembusan internet yang agak luas iaitu 86 peratus tetapi kadar penggunaan e-wallet masih rendah. Dahulu, sebelum pelaksanaan skim e-tunai, hanya sekitar lapan peratus tetapi kini mungkin meningkat sedikit. Negara seperti China lebih banyak menggunakan e-wallet daripada wang fizikal.

Dalam masa yang sama, kekurangan data menyukarkan kita merancang sesuatu keputusan, menangani krisis atau menyalurkan bantuan. Di sini pentingnya Big Data, tambahan pula dalam negara menuju Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0). Justeru, kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia harus meningkatkan keupayaan menggunakan teknologi maklumat.

Inilah pentingnya pendigitalan kerana keadaan sekarang amat dinamik. Kita tidak dapat menjangkakan secara khusus bila krisis kesihatan ini akan berakhir. Sebagai contoh, dahulu dijangkakan PKP akan tamat selama dua minggu tetapi sekarang dilanjutkan lagi dua minggu. Keadaan selepas ini kita tidak tahu lagi.

Kita memperkenalkan beberapa inisiatif untuk tempoh enam bulan. Ini tidak bermakna ekonomi akan pulih dalam tempoh tersebut. Sukar untuk kita membuat jangkaan.

Tabung Kewangan Antarabangsa dan pakar-pakar ekonomi tempatan sudah menyatakan terdapat tanda-tanda kemelesetan ekonomi yang akan melanda dunia termasuk Malaysia angkara wabak Covid-19. Bagaimana Datuk Seri melihat kesan Covid-19 ini, adakah kita bakal berdepan kegawatan ekonomi seteruk seperti tahun 1998?

Semasa krisis kewangan tahun 1997 dan 1998, pertumbuhan negara adalah -7.4 peratus. Pada tahun 2009, krisis kewangan berulang lagi dan pertumbuhan KDNK -1.5. Pertumbuhan ekonomi pada tahun ini sudah pasti lebih rendah berbanding sasaran awal sebanyak 4.3 peratus sehingga 4.8 peratus.

Bank Negara mengumumkan ekonomi negara akan berkembang antara -2 peratus sehingga 0.5 peratus. Justeru, dalam berhadapan dengan ketidaktentuan pada masa sekarang, kerajaan akan meningkatkan usaha untuk memperkukuhkan daya tahan dan perlu memikirkan sumber pertumbuhan baharu supaya ekonomi kita terus kukuh dan mampan.

Keadaan sekarang amat berbeza berbanding dengan dua krisis sebelum ini. Pada masa ini, seluruh dunia berhadapan dengan krisis kesihatan dan semua pihak terjejas. Namun, dalam jangka sederhana dan panjang, asas ekonomi negara masih kukuh dengan sumber pertumbuhan yang pelbagai.

Dalam bisnes, aliran tunai sangat penting. Covid-19 menyebabkan sektor perniagaan daripada sektor korporat, PKS sehinggalah peniaga kecil terjejas. Apa yang mampu kerajaan lakukan untuk membantu sektor ini, pertama, bagi mengelakkan syarikat gulung tikar dan keduanya, tiada pembuangan pekerja?

Betul kita berhadapan dengan masalah mengelakkan syarikat gulung tikar dan seterusnya mengekang pembuangan pekerja. Kerajaan mendengar keluh-kesah daripada PKS. Libat urus dengan pihak terbabit diadakan secara berterusan. Insya-ALLAH dalam masa dua tiga hari lagi kerajaan akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi baharu khusus untuk PKS. Kerajaan dalam masa yang sama juga menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet yang bertujuan memastikan keseimbangan antara nyawa dan pekerjaan serta enjin ekonomi (economic engine) negara kita terus berjalan.

Melalui Prihatin, kerajaan telah menyediakan insentif-insentif untuk membantu PKS terus beroperasi. Contohnya, kerajaan menyediakan subsidi upah sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan untuk pekerja berpendapatan bawah RM4,000 dan majikan mengalami penurunan pendapatan lebih 50 peratus sejak Januari 2020. Majikan perlu menjamin tiada pembuangan pekerja bagi tempoh tiga bulan selepas program ini.

PKS sama seperti seluruh rakyat Malaysia mendapat moratorium pinjaman selama enam bulan. KWSP juga menyediakan kemudahan rundingan majikan untuk mereka menangguhkan bayaran, menstruktur dan menjadual semula sumbangan majikan. Ini membantu mereka melancarkan aliran tunai.

Di bawah matlamat kedua Prihatin iaitu sokongan perniagaan, kerajaan telah menyediakan tambahan sebanyak RM3 bilion untuk Tabung Kemudahan Khas (SRF) bagi membantu PKS dengan penurunan kadar kepada 3.5 peratus.

Terdapat tambahan RM500 juta di bawah Skim Kredit Mikro dengan kadar faedah dua peratus tanpa cagaran serta pembiayaan sehingga RM300,000 untuk PKS yang mempunyai rekod perniagaan kurang daripada empat tahun di bawah skim Bizmula-I dan Bizwanita-I.

Tumpuan kini diberikan kepada sistem penyampaian dan pelaksanaan bagi memastikan semua yang diumumkan oleh kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat dan kumpulan sasar.

Inti pati Prihatin adalah untuk tempoh enam bulan sahaja. Bagaimana jika kesan Covid-19 berlanjutan daripada tempoh itu, adakah kerajaan mempunyai rizab perbendaharaan yang mencukupi bagi menghadapi kesan jangka panjang Covid-19?

Sudah pasti keadaan kewangan sekarang amat mencabar. Tekanan kewangan amat dirasai oleh sektor isi rumah, perniagaan khususnya PKS dan kerajaan. Namun, kerajaan berusaha untuk menangani cabaran ini.

Kerajaan telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) untuk melihat isu-isu ekonomi dari masa ke masa. EAC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri diurusetiakan bersama oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan bagi merancang pelan ekonomi jangka panjang melangkaui pandemik Covid-19. Sumber kewangan akan digembleng melalui beberapa syarikat berkaitan kerajaan dan dana-dana lain.

Kerajaan mungkin membiayai sebahagian perbelanjaan tambahan antara lain melalui pinjaman domestik sekiranya diperlukan. Seperti yang diputuskan oleh Menteri Kewangan, kerajaan tidak akan menggunakan rizab antarabangsa diurus Bank Negara Malaysia kerana penting untuk memastikan kelancaran aktiviti perdagangan antarabangsa.

Tiga industri paling terjejas teruk ialah industri penerbangan, pelancongan serta perhotelan. Apakah kerajaan ada rancangan khusus untuk menyelamatkan ketiga-tiga industri penting ini?

Yang paling terjejas teruk ialah industri penerbangan. Sebenarnya sektor-sektor ini mengalami pertumbuhan yang lembap sebelum pandemik Covid-19 lagi. Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air amat terkesan dengan keadaan ekonomi dunia ditambah dengan krisis kesihatan ini. Malah, semua syarikat penerbangan di dunia juga mengalami masalah yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Kerajaan melihat perkara ini dan akan merangka pelan khusus untuk industri penerbangan bagi memastikan mereka dapat terus beroperasi. Kerajaan telah menyediakan pelbagai pelan untuk membantu sektor yang terjejas ini. Sebagai contoh, Danajamin. Sebanyak RM50 bilion disediakan untuk menjamin pinjaman syarikat sehingga 80 peratus jaminan, dengan pinjaman melebihi RM20 juta untuk satu-satu syarikat.

Selain itu, pembayaran cukai pendapatan ditangguhkan selama tiga bulan manakala sumbangan kepada HRDF dikecualikan selama enam bulan. Penangguhan sumbangan KWSP oleh majikan akan dipertimbangkan mengikut kes. Selain Prihatin, kerajaan juga akan turut mengambil kira kesan Covid-19 kepada ketiga-tiga industri ini bagi membangunkan semula industri dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Adakah kerajaan bercadang untuk melaksanakan pakej rangsangan ekonomi tambahan sebaik sahaja tempoh PKP tamat bagi membolehkan rakyat menjalani kehidupan seperti biasa?

Kerajaan sentiasa meneliti semua maklum balas daripada pelbagai pihak iaitu rakyat, sektor swasta dan PKS. Kementerian Kewangan, Urusetia EAC dan kementerian serta agensi lain akan terus mengadakan libat urus dengan pemegang taruh dalam merangka strategi bukan sahaja ketika pandemik Covid-19 tetapi juga pasca-Covid-19.

Bank Dunia meramalkan hanya dua negara di Asia Tenggara yang mengalami pertumbuhan negatif, iaitu Malaysia dan Thailand. Adakah Datuk Seri melihat Malaysia akan menepati ramalan Bank Dunia itu? Apakah kekuatan yang ada pada Malaysia untuk memastikan kita tidak terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi yang berpanjangan?

Bank Negara telah mengumumkan anggaran pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2020 adalah antara -2 sehingga 0.5 peratus. Keadaan amat sukar. Kesan ini dirasakan di seluruh dunia. Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva telah meramalkan dunia akan mengalami kemelesetan lebih teruk daripada tahun 2008-2009. Malah, bagi negara kita, saya berpendapat ia mungkin lebih teruk daripada krisis kewangan 1998-1999.

Namun, saya yakin dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh tokoh-tokoh dalam kerajaan dan swasta serta ahli akademik Malaysia, kita mampu untuk menangani cabaran ini. Kita tidak dapat jangkakan dengan tepat tetapi harapan kita keadaan akan beransur-ansur pulih pada hujung tahun ini atau awal tahun depan. Sudah pasti Bajet 2021 akan dirangka berdasarkan keadaan pada masa kini. Untuk jangka panjang, kerajaan sedang merangka RMK-12 dalam tempoh 2021-2025.

RMK-12 sudah tentu akan memberikan penekanan kepada kesan masalah yang dihadapi sekarang ke atas ekonomi negara. Apa pun matlamat kita untuk mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama menjelang 2030 akan terus menjadi panduan bagi membentuk dasar-dasar dalam mengharungi cabaran-cabaran mendatang.

Sekarang ini kita tidak nafikan semua sektor terkesan tetapi dengan Malaysia bergantung kepada minyak sebagai sumber pendapatan sehingga 30 peratus, apakah komen Datuk Seri mengenai kejatuhan teruk harga minyak dunia sehingga mencecah AS$23 setong sekarang?

Bagi sebuah negara yang bergantung agak besar kepada hasil petroleum untuk menjana hasil kerajaan, sudah tentu Malaysia akan turut terkesan dengan perkara ini. Dalam hal ini, kerajaan menjangkakan bagi setiap kejatuhan harga minyak mentah dunia sebanyak AS$1 setong, pendapatan negara daripada hasil petroleum akan berkurangan kira-kira RM300 juta.

Kejatuhan harga minyak dunia di bawah AS$25 setong (daripada AS$62 setong yang dianggarkan semasa pembentangan Belanjawan 2020) memberi impak yang bukan kecil kepada pendapatan negara disebabkan dividen Petronas yang merosot dan cukai pendapatan petroleum (petroleum income tax) semakin berkurangan.

Berapa lama kerajaan menjangkakan tempoh pemulihan semula harga minyak mentah dunia dan adakah Belanjawan 2020 yang dibuat berasaskan harga minyak dunia AS$62 setong masih mampu direalisasikan kerajaan sepanjang tahun ini?

Kejatuhan harga minyak yang mendadak kali ini adalah disebabkan oleh dua faktor utama, iaitu bekalan minyak mentah yang terlalu banyak di pasaran (oversupply), dan permintaan yang rendah (low demand). Dari segi bekalan, kegagalan mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada awal Mac 2020 dalam mencapai resolusi untuk meneruskan kerjasama pengurangan pengeluaran minyak mentah, terutama antara Arab Saudi dan Rusia, telah menyebabkan berlakunya lambakan bekalan minyak mentah di pasaran. Amerika Syarikat juga pengeluar minyak terbesar.

Dalam masa sama, pertumbuhan permintaan minyak mentah dunia turut berada pada kadar yang amat lemah hari ini akibat kemerosotan ekonomi dunia yang merudum disebabkan oleh penularan Covid-19.

Pelbagai sektor yang menggunakan minyak seperti pengangkutan, penerbangan dan perindustrian telah banyak terkesan oleh penularan wabak Covid-19 sekali gus menyebabkan pasaran minyak dunia menjadi tidak seimbang. Keadaan ini adalah baik untuk pengguna menikmati harga lebih rendah tetapi bagi kerajaan, ia menjejaskan hasil serta eksport.

Kedua-dua faktor ini telah memberi impak yang mendalam kepada harga minyak dunia. Oleh itu, pihak kerajaan menjangkakan tempoh untuk harga minyak dunia pulih semula akan mengambil masa lebih lama berbanding dengan sebelum ini. Harga purata minyak mentah dunia dianggarkan akan berada pada paras AS$35-AS$45 setong bagi tahun 2020 dan 2021.

Sumber- Sinar Harian