Banyakkan Berdoa Semasa Berpuasa Kerana Salah Satu Mustajab Doa Adalah Ketika Berpuasa

Kongsikan di

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT berfirman :

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ {186}

Maksudnya : “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah ayat 186).

Ayat ini adalah jawaban dari suatu pertanyaan, beberapa sahabat Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bertanya kepada baginda seraya berkata, “Wahai Rasulullah, apakah Rabb kami itu dekat hingga kami membisiki-Nya ataukah Dia jauh hingga kami menyeruNya?” ,

kemudian turunlah ayat, { وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ } “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat”

Kerana sesungguhnya Allah SWT Maha Mengawasi, Maha Melihat dan Mengetahui apa yang tersembunyi dan dirahasiakan, Dia mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati dan Dia sangat dekat dari orang yang berdoa kepadaNya dengan mengabulkannya.

Oleh kerana itu Dia berfirman, {أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ } “Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaKu” berdoa itu ada dua macam, doa ibadah dan doa meminta.

Kedekatan juga dua cara iaitu kedekatan dengan ilmuNya dari setiap makhlukNya, dan kedekatan dari penyembahNya dan orang yang berdoa kepadaNya dengan mengabulkan doa, menolong dan memberikan taufik.

Barangsiapa yang berdoa kepada Rabbnya dengan hati yang hadir dan doa yang disyariatkan, lalu tidak ada suatu hal yang menghalanginya dari terkabulnya doa, seperti makanan haram dan sebagainya, maka sesungguhnya Allah telah menjanjikan baginya doa yang terkabul, khususnya bila dia mengerjakan sebab-sebab terkabulnya doa, iaitu serah diri sepenuhnya kepada Allah dengan ketaatan kepada perintah-perintahNya dan (menjauhi) larangan-laranganNya, baik dalam perkataan maupun perbuatan.

beriman kepadaNya yang mengharuskan timbulnya penerimaan tersebut, oleh kerana itu Allah berfirman,

 { فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ }

“Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran”

Maksudnya, mereka akan mendapatkan kebenaran iaitu hidayah kepada keimanan dan perbuatan soleh, hilang darinya kezaliman yang menghilangkan keimanan dan amalan soleh, dan kerana beriman kepada Allah dan memenuhi perintahNya merupakan sebab mendapatkan ilmu, sebagaimana Allah berfirman, “Hai orang-orang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, Kami akan memberikan kepadamu Furqan.” (Surah al-Anfal ayat 29).
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Ada tiga orang yang doanya tidak akan ditolak: Penguasa yang adil, orang yang berpuasa hingga berbuka, dan doa orang yang di zalimi. Allah akan menaikkan doanya tanpa terhalang awan mendung pada hari kiamat dan dibukakan baginya pintu-pintu langit, dan Dia berfirman, ‘Demi kemuliaan-Ku, Aku pasti menolongmu meskipun beberapa saat lagi’.” (Hadis Riwayat  Ahmad, Tirmidzi, Nasa’i, dan Ibnu Majah)

Berdasarkan hadis di atas tiga golongan manusia doanya makbul di sisi Allah SWT iaitu :

1. Penguasa yang adil.

2. Orang yang berpuasa hingga berbuka.

3. Orang yang di zalimi.

Huraiannya :

1. Penguasa yang adil.

Seorang pemimpin yang adil, mesra rakyat dan tidak membelakangkan kehendak dan suara rakyat adalah makbul di sisi Allah SWT. Pemimpin yang adil adalah pemimpin yang tidak membelakangkan al-Quran dan as-sunah dalam pemerintahan dan pentadbirannya. Pemimpin seperti ini akan sentiasa dirahmati Allah SWT dan mendapat doa kesejahteraan daripada rakyat kerana keadilannya.

2. Orang yang berpuasa hingga berbuka .

Puasa adalah satu amalan yang sangat disukai oleh Allah SWT sehinggakan pahala orang yang berpuasa hanya Allah SWT sahaja akan berikan dan malaikat sendiri tidak tahu berapa banyak pahala yang hendak dicatatkan. Ada sebuah hadis qudsi yang berbunyi, “Puasa adalah milik-Ku dan Akulah yang akan membalasnya.”

Doa pada saat berpuasa ialah sebelum berbuka puasa, ketika terbenamnya matahari. Ini kerana pada waktu tersebut berkumpul padanya kesempitan jiwa (kerana lapar), sifat tunduk merendah diri, dan si pelakunya pula dalam keadaan berpuasa ketika itu. Semua ini merupakan sebab-sebab terkabulnya doa. Adapun selepas berbuka, diri seseorang telah mula berehat dan gembira, dan seringkali pada saat itu diri dalam keadaan lalai.

Doa semasa berbuka puasa :

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ بِرَحْمَتِكَ يَاأَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ

Maksudnya : "Ya Allah kerana Engkau aku telah berpuasa, kepada Engkau aku telah beriman, dan dengan rezki Engkau aku telah berbuka dengan rahmatMu, wahai sebaik-baik Pemberi Rahmat."

3. Orang yang di zalimi.

Allah SWT amat murka kepada sesiapa sahaja dikalangan hamba-Nya yang melakukan kezaliman kepada hamba-Nya yang lain. Orang yang suka melakukan kezaliman dan aniaya kepada orang lain akan mendapat balasan daripada-Nya di dunia lagi. Doa mereka yang dizalimi mustajab di sisi Allah SWT.

Dalam hadis yang lain dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang di zalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara."
(Hadis riwayat Hakim - sanad sahih)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita perbanyakkan berdoa kepada Allah SWT ketika kita berpuasa disiang hari dan ketika kita hendak berbuka puasa kerana berdoa ketika itu sungguh mustajab di sisi Allah SWT.

Pada waktu malam pula semasa sahur adalah waktu berkat dan yang mustajab doa :

Daripada Abu Sa’id al-Khudri, Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Makan sahur itu berkat, oleh sebab itu jangan kamu meninggalkannya walaupun salah seorang daripada kamu kemudiannya meneguk seteguk air. Maka sesungguhnya Allah SWT  berselawat ke atas orang-orang yang bersahur". (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Sumber: http://abubasyer.blogspot.my

loading...

0 Response to "Banyakkan Berdoa Semasa Berpuasa Kerana Salah Satu Mustajab Doa Adalah Ketika Berpuasa"

Post a Comment