Tips Berhijab Untuk Beginner

Kongsikan di

Tips Berhijab Untuk Beginner

Perkara paling penting dalam setiap perkara adalah niat. Anda melakukannya kerana Allah. Kita bukan berhijab untuk menyenangkan hati makhluk tapi menyenangkan Allah.

Seorang rakan saya terjaga dari tidur dan terus nekad untuk mula memakai tudung. Bagi ramai di antara kita yang berhijab sejak kecil, caranya mungkin nampak semudah itu. Tapi untuk membuat keputusan berhijab bukanlah perkara mudah bagi mereka yang baru hendak memulakannya. Lebih-lebih lagi bila diri dikelilingi mereka yang tidak berhijab. Ia perlukan lebih dari sekadar kekuatan. Maka, tips ini untuk anda yang hendak berhijrah.



1# Niat

Perkara paling penting dalam setiap perkara adalah niat.
Anda tidak mula berhijab kerana sebuah perkahwinan, kerana keluarga atau rakan-rakan. Anda tidak mula berhijab kerana fesyen atau selebriti. Anda melakukannya kerana Allah. Kita bukan berhijab untuk menyenangkan hati makhluk tapi menyenangkan Allah. Malah, kasih-sayang kita kepada makhlukNya juga adalah kerana cinta kita kepada Allah yang mahu kita menuruti perintahNya. Maka, perkata paling awal dalam berhijab adalah berniat dan memperbaiki niat.

2# Mulakan Walaupun Perlahan

Seringkali kita mendengar kata-kata, “Bertudung tapi perangai buruk” yang membawa kepada “Saya tunggu Allah beri hidayah” kerana kebimbangan kita kepada persepsi dan tahap persediaan diri kita. Sesuatu yang anda perlu tahu dan mungkin sudah tahu adalah kita tidak akan terlepas dari kesilapan kerana kita adalah manusia.
Seorang manusia yang baik akan sentiasa berusaha memperbaiki diri.
Mungkin anda berasa sukar untuk memakai tudung yang labuh tapi anda boleh memulakan memakai tudung. Mungkin anda belum bersedia dengan lengan panjang tapi anda boleh memakai lengan tiga suku. Berikan masa seperti sebulan, kemudian dua bulan dan seterusnya. Apa yang penting adalah sentiasa ada penambahbaikan.

3# Persediaan

Apabila anda mula berhijab, anda juga mula tidak membeli-belah seperti sebelum anda tidak berhijab. Kali ini jenis pakaian yang anda beli mesti berlandaskan niat sebagai muslimah berhijab.Pakaian lama boleh disuai padankan dengan pakaian yang longgar, labuh, dan tidak singkat supaya menepati keperluan penampilan muslimah.
Dapatkan maklumat ciri-ciri pakaian muslimah. Pada masa ini mendapatkan pakaian muslimah adalah mudah kerana ada banyak pilihan berbanding dahulu. Tidak salah untuk berpakaian cantik dan bergaya kerana Allah juga suka kecantikan.
Namun, pastikan tujuan berpakaian itu bukan untuk menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah. Terdapat banyak video pemakaian tudung di Youtube untuk anda dapatkan idea.

4# Biasakan Berhijab Di Tempat Yang Anda Selesa

Mungkin anda berasa sukar berhijab di depan ramai orang yang mengenali anda. Di saat anda membuat keputusan besar dalam agama, sokongan yang anda perolehi tidak meyakinkan anda.
Teruskan berhijab walaupun ada yang menyindir atau bergurau tentang penghijrahan anda. Anda tahu niat anda.
Anda juga boleh membiasakan diri berhijab di tempat yang tiada orang mengenali anda atau anda tahu kebarangkalian bertemu mereka adalah nipis. Ia lebih membuatkan anda selesa. Lama-kelamaan kata-kata orang lain tidak lagi sepenting penghijrahan anda.

5# Sentiasa Ingatkan Diri Tujuan Kita Berhijab

Ramai orang gagal kerana melupakan tujuan asal. Bukan yang tidak berhijab sahaja yang berpotensi untuk kembali tidak berhijab, malah ujian keimanan ini turut mengenai mereka yang berhijab sejak kecil.
Iman ada turun naiknya. Anda perlu menjaganya dengan baik sehinggat akhir hayat anda.
Justeru, ingatkan diri tentang tujuan asal kita berhijab. Tambah ilmu, bukan sahaja tentang hijab tetapi hal-hal keagamaan yang lain. Ini bukan untuk menjadikan anda seorang ustazah tapi ia adalah kewajipan bagi seorang muslim untuk menuntut ilmu. Dengan ilmu juga ibadah kita akan menjadi sempurna.
Akhirnya anda bukan sahaja berjaya berhijab, malah anda mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah.
Sumber : tazkirah.net


loading...

0 Response to "Tips Berhijab Untuk Beginner"

Post a Comment