Tembak jemaah masjid dengan AK-47

Kongsikan di
 (Wajah Mangsa Yang Terbunuh)

Quebec City: Pelajar sebuah universiti di sini, Alexandre Bissonnette, 27, dihadapkan ke mahkamah hari ini, untuk menghadapi tuduhan membunuh enam jemaah masjid ketika solat maghrib di sini, semalam.

Bissonnette, pelajar jurusan antropologi dan sains politik yang melepaskan tembakan ke arah jemaah, juga menghadapi lima tuduhan cubaan membunuh, kejadian yang dianggap Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau sebagai serangan pengganas terhadap masyarakat Islam.

Menurut AP, ketika dibawa ke mahkamah, tangan Bissonnette yang tidak membuat sebarang pengakuan, kelihatan sedikit menggeletar dan sering tunduk merenung lantai.

Pelajar Universiti Laval berasal dari Perancis itu menyokong gerakan berhaluan kanan Perancis diketuai Marine Le Pen serta memuji Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Facebook miliknya.

Bagi Le Pen dan penyokongnya, ‘penghijrahan besar-besaran’ orang Islam dari Afrika Utara mencemarkan tamadun Perancis serta menjadi punca banyak masalah di Perancis.
Kanada mengalu-alukan pendatang tanpa mengira bangsa dan agama namun wilayah Quebec yang majoriti penduduknya berbahasa Perancis tidak begitu terbuka terhadap kebebasan kaum dan beragama malah kerajaan yang memerintah wilayah itu sebelum ini, pernah mencadangkan pengharaman simbol agama, termasuk hijab di institusi awam.

Bissonnette ditahan awal semalam, selepas menelefon polis untuk menyerah diri dan polis menemui dua raifal AK-47 dalam keretanya.

Polis turut menahan seorang lagi, Mohamed el Khadir berasal dari Maghribi namun dia kini hanya sebagai saksi dan pihak berkuasa yakin Bissonnette bertindak sendirian.

Mohamed el Khadir ditahan di masjid berkenaan manakala Bissonnette melarikan diri ke bandar Ile d'Orleans berhampiran namun 20 minit kemudian menelefon polis untuk menyerah diri.
Superintendan Polis Diraja Kanada, Martin Plante, berkata pihaknya akan menjalankan soal siasat serta siasatan lanjut bagi memastikan motif serangan.

Enam lelaki berusia antara 39 hingga 60 tahun terbunuh dalam serangan itu dikenali sebagai Boubaker Thabti dari Tunisia; peniaga daging Azzedine Soufiane; profesor di Universiti Laval, Khaled Belkacemi; petugas masjid Ibrahima Barry serta sepupunya Mamadou Tanou Barry dan pekerja kerajaan, Abdelkrim Hassen.

Lima lagi cedera parah dan masih dirawat di unit rawatan rapi manakala 12 lagi cedera ringan.


Sumber: Harian Metro
loading...

0 Response to "Tembak jemaah masjid dengan AK-47"

Post a Comment