HUKUM BAGI PEREMPUAN YANG KEMATIAN SUAMI DAN MASIH DI DALAM ‘IDDAH MENUNAIKAN UMRAH

Kongsikan di

Soalan:
Apakah hukumnya bagi perempuan yang telah kematian suaminya dan masih di dalam ‘iddah untuk menunaikan umrah?

Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
‘Iddah bagi perempuan yang kematian suami adalah 4 bulan 10 hari dan termasuk di dalam bilangan ‘iddah tersebut adalah hukum ihdad (berkabung) bagi si isteri. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوۡنَ مِنكُمۡ وَيَذَرُونَ أَزۡوَٰجٗا يَتَرَبَّصۡنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرۡبَعَةَ أَشۡهُرٖ وَعَشۡرٗاۖ
Maksudnya: Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber'iddah) empat bulan sepuluh hari. 
(Al-Baqarah: 234)

Sekiranya si isteri kematian suaminya dalam keadaan sedang mengandung, maka ‘iddahnya adalah sehingga perempuan tersebut melahirkan anaknya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَأُوْلَٰتُ ٱلۡأَحۡمَالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعۡنَ حَمۡلَهُنَّۚ
Maksudnya: Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya.
(Al-Talaq: 4)
Dalam menempuh bilangan ‘iddah serta berkabung bagi kematian suami, seseorang perempuan itu tidak boleh keluar dari rumahnya sepanjang tempoh ber’iddah tersebut melainkan darurat atau keperluan hajat. Ini juga berdasarkan sabda Nabi SAW kepada Furay’ah binti Malik bin Sinan yang mana telah bertemu Nabi SAW bertanyakan adakah boleh bagi dirinya untuk pulang ke pangkuan ahli keluargnaya, Bani Khudrah kerana telah kematian suaminya. Lalu jawab Baginda SAW:
امْكُثِي فِي بَيْتِكِ حَتَّى يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ
Maksudnya: Tetaplah kamu di rumahmu sehingga sampai apa yang telah ditetapkan.
Riwayat Abu Daud (2300) & Al-Tirmizi (1204)

Furay’ah R.Anha telah melengkapkan ‘iddahnya selama 4 bulan 10 hari dan ketika zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin ‘Affan RA, beliau telah menghantarkan seseorang untuk bertanyakan mengenai peristiwa tersebut lalu Furay’ah menceritakan perihal peristiwa tersebut dan Khalifah Uthman RA mengikutinya dan juga berhukum dengannya.
Al-Imam al-Khattabi Rahimahullah menyatakan bahawa berdasarkan hadith di atas, bagi perempuan yang kematian suaminya, perlulah ber’iddah di rumah suaminya dan tidak boleh untuk keluar dari rumah tersebut melainkan dalam keadaan darurat serta hajat dan itulah pendapat al-Imam Malik, al-Thauri, al-Syafi’e, Ahmad dan Muhammad bin al-Hasan Rahimahumullah. [ Lihat Ma’alim al-Sunan. Al-Matba’ah al-‘Ilmiyyah, 3/287]
Begitu juga al-Imam Ibn Abd al-Bar Rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya al-Istizkar bahawa perempuan yang kematian suaminya perlulah ber’iddah di dalam rumah di mana didiami olehnya sama ada miliknya atau suaminya. Tidak boleh bagi perempuan tersebut untuk menyelesaikan ‘iddahnya kecuali di rumah tersebut dan inilah pendapat al-Imam Malik, al-Syafi’e, Abu Hanifah serta pengikutnya, al-Thauri, al-Auza’ie, al-Laith bin Sa’ad dan Ahmad bin Hanbal Rahimahumullah. [Lihat al-Istizkar. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 6/214]
Berdasarkan nas al-Quran serta hadith di atas, para ulama’ sepakat mengatakan bahawa hukum perempuan yang dalam ‘iddah kematian suaminya tidak boleh keluar sebaliknya haruslah tetap berada di dalam rumah suaminya sehingga sempurna ‘iddahnya.

Kesimpulan
Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, tidak boleh untuk seorang perempuan keluar dari rumahnya ketika sedang ber’iddah melainkan terdapat perkara yang darurat ataupun keperluan hajat yang dibenarkan oleh syara’. Oleh itu, tidak boleh juga bagi perempuan yang kematian suaminya untuk keluar menunaikan umrah sebelum sempurna ‘iddahnya. Ibadah umrah itu masa untuk melakukannya adalah sangat luas, maka boleh sahaja dilakukan selepas tamat ‘iddah.
Begitu juga di dalam ibadah haji. Telah sepakat di dalam mazhab yang empat bahawa perempuan yang kematian suaminya maka tidak boleh untuk keluar dari rumah bagi mengerjakan haji. Ini sepertimana yang diriwayatkan daripada Umar, Uthman R.Anhuma. Ianya juga adalah perkataan Sa’id bin al-Musayyib, al-Qasim, Malik, al-Syafi’e, Abu ‘Ubaid dan juga Ashab al-Ra’yu. Pernah diriwayatkan juga daripada Mujahid daripada Sa’id bin al-Musayyib telah berkata bahawa Umar RA pernah memanggil pulang wanita-wanita yang kematian suami yang menuju untuk melakukan ibadah haji di Zu al-Kulaifah sehinggalah mereka ber’iddah di rumah mereka. [Lihat al-Mughni. Maktabah al-Qaherah, 8/168 & al-Majmu’. Dar al-Fikr, 18/172-173]
Berdasarkan buku Soal Jawab Ibadah Haji, Umrah dan Ziarah yang diterbitkan oleh Bahagian Bimbingan, Lembaga Tabung Haji yang mana sekiranya seorang wanita yang telah mendapat keizinan suaminya untuk menunaikan ibadah haji, namun sebelum sempat bertolak, suaminya telah meninggal maka perempuan tersebut tidak boleh untuk keluar menunaikan haji kerana syara’ tidak membenarkan untuk keluar dari rumah. [Lihat Soal Jawab Ibadah haji, Umrah dan Ziarah. Terbitan Bahagian Lembaga Tabung Haji. Kemaskini 2015. Hlm. 13]
Adapun jika perempuan itu keluar juga dari rumahnya untuk menunaikan umrah, maka perbuatannya itu haram dan berdosa namun sah hukumnya bagi ibadah umrah yang telah dilakukan tersebut.
Wallahu a’lam.
Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

6 Disember 2016 bersamaan 6 Rabi’ al-Awwal 1438 H.
loading...

0 Response to "HUKUM BAGI PEREMPUAN YANG KEMATIAN SUAMI DAN MASIH DI DALAM ‘IDDAH MENUNAIKAN UMRAH"

Post a Comment