Tips Menunaikan Solat Diawal Waktu

Kongsikan di


Menunaikan solat 5 waktu sehari semalam adalah tuntutan yang fardu ke atas setiap orang yang beragama Islam. Walaupun sakit dan masih sedar serta waras, solat fardu perlu ditunaikan walaupun tanpa gerakan asal (ada kaedah-kaedahnya).
“Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” An-Nisa’:103
Dari situ, kita akan fahami bahawa begitu pentingnya solat. Pasti ada “rahsia” dalam ibadat solat ini sehingga waktu kita sakit pun dituntut untuk mengerjakannya.

Jika anda seorang usahawan, anda mungkin sudah tiada majikan. Tetapi jika kita fikir jauh sedikit, “majikan” bagi seorang usahawan adalah Allah. Jadi jika mahu menjadi seorang usahawan yang berjaya, sudah pasti kita perlu ikut arahan majikan.
 

Begitu juga dengan solat, ia adalah perintah daripada Allah untuk semua manusia. Apabila usahawan mengikut perintah Allah, sudah pasti Allah akan memudahkan usaha-usaha yang dilakukan.

Solat Sebaiknya Pada Awal Waktu
Ditanya Rasulullah s.a.w, apakah amalan yang terbaik, maka baginda menjawab: Solat di awal waktu.
Hadis Riwayat At-Trimidzi
Di sini saya senaraikan 7 cara mudah (mengikut situasi) untuk menunaikan solat di awal waktu. Ingat, menunaikan solat sahaja tidak cukup, tetapi menunaikan solat dengan betul dan sebaiknya pada awal waktu.
Insya-Allah, barulah “khasiat” solat itu akan kita perolehi. Solat awal waktu dengan di akhir waktu umpama jus buah-buahan yang diperah terus dari buah dan jus yang asli telah dicampur dengan air sehingga hilang kelazatannya. Jadi jus mana yang kita mahu?

#1 – Latih Diri Hentikan Kerja Tanpa Alasan

Jika kita sedang sibuk melakukan kerja di depan komputer ataupun laptop, apabila kita mendengar azan, kita terus hentikan kerja yang sedang dilaksanakan tanpa apa-apa alasan.
“Save” segala kerja dan terus Jika kita permudahkan untuk solat, Allah akan memudahkan juga urusan seharian kita. Jadikan ia sebagai satu “habit”. Setiap kali terdengar azan, terus hentikan. Jika tidak biasa, kita perlu biasakan. Lama-lama ia akan menjadi automatik.

#2 – Waktu Solat Sebagai Panduan Temujanji

Jika kita mahu bertemu dengan pelanggan ataupun prospek, tetapkan masa sebelum ataupun selepas waktu solat. Contohnya jika kita mahu bertemu pada waktu tengah hari, sebaiknya bertemu sebelum pukul 1 petang, ataupun selepas selesai menunaikan solat fardu zuhur.

Begitu juga jika mahu bertemu pada waktu malam, jumpa pada pukul 9 malam dan ke atas. Walaupun solat fardu Isyak boleh dilambatkan, tetapi lebih baik kita tunaikan pada waktunya.

#3 – Tetapkan ‘Reminder’ Waktu Solat 

Gunakan perisian ataupun aplikasi ‘reminder’ waktu solat. Pasang aplikasi waktu solat, Al-Quran, zikir dan kompas arah kiblat di smartphone. Pasang juga perisian “reminder” waktu solat di laptop ataupun sekurang-kurang perisian alarm yang kita boleh set masa-masa tertentu untuk mengingatkan kita yang sedang terleka bekerja.
Semua aplikasi ini amat membantu kita yang kadang-kadang terlalu sibuk dalam urusan seharian.

#4 – Tampal Peringatan Di Meja Kerja 

Tulis ‘peringatan’ dan tampal betul-betul di hadapan meja kerja anda seperti petikan hadis ataupun apa sahaja yang anda mahukan. Apabila ada peringatan sebegitu, kita akan ada sedikit motivasi untuk menyegerakan solat.
 
#5 – Berkawan Dengan Mereka Yang Tidak Lewatkan Solat

Berkawan dengan individu yang tidak melengahkan solat. Jika anda seorang usahawan, cari rakan niaga yang tegas dalam bab solat dan agama.
Bukan sahaja kita akan solat lebih awal ataupun sebaik masuk waktunya, tetapi kita juga boleh solat berjemaah di pejabat jika tidak dapat ke masjid ataupun surau, ataupun sewaktu berjalan jauh / bepergian (safar). Dalam masa yang sama, mereka boleh mengingatkan kita apabila kita dilanda kesibukan.

#6 – Jadikan Solat Polisi Utama Anda 

Letak solat sebagai perkara paling utama dalam segala jua perkara. Niat, azam dan tekad dalam hati. Solat adalah segala-galanya. Selagi anda tidak solat, jangan lakukan perkara lain. Jadikan ia sebagai polisi utama anda. Anda perlu tegas dengan diri sendiri dan tidak boleh terlalu berlembut dengan sesiapa sahaja dalam soal solat.
Mereka tidak mahu solat ataupun mahu melengahkan solat, itu pilihan mereka. Anda mempunyai pilihan dan prinsip tersendiri. Apabila kita meletak solat sebagai nombor satu, Allah akan bantu kita mempermudahkan kita untuk menunaikan solat.

#7 – Solat Berjemaah Di Masjid 

Solat berjemaah di masjid. Ya, inilah satu-satunya cara paling efektif untuk solat pada awal waktunya. Sebaik mendengar azan kita terus menuju ke masjid ataupun sebelum azan berkemundang, kita telah bersiap-siap untuk ke masjid ataupun surau.

Apabila berada di masjid, kita tidak ada fikiran lain selain mahu menunaikan solat sahaja dan yang pasti kita akan ikut imam. Kita akan solat dengan lebih tenang dan tidak tergopoh-gapah. Cubalah teknik ke-7 ini walaupun mungkin tidak selalu.

Rumusan

Akhir kata daripada saya, kita memang manusia yang serba serbi kelemahan. Diri kita dengan para sahabat Nabi usah dibandingkan, apatah lagi dengan para ustaz dan ulama soleh, memang kita terlampau jauh berbanding mereka. Kita jadi sahaja diri sendiri dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kedudukan kita di sisi Allah Subhanahu wa Taala.

 Sumber: http://tazkirah.net/7-cara-mudah-solat-awal-waktu/
loading...

0 Response to "Tips Menunaikan Solat Diawal Waktu"

Post a Comment