Kisah Asal Usul Buah Kurma Ajwa

Kongsikan di

Kurma Ajwa mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri dengan saiznya yang sederhana serta kedutan pada Kurma Ajwa lebih banyak daripada kurma lain dan jika diteliti kedutan pada kulit kurma Ajwa membentuk kalimah ٱللَّهِ.
Kisah dan asal usul kurma Ajwa ini dikatakan bermula selepas buah kurma Ajwa disebutkan oleh Nabi Muhammad ﷺ dalam sabdanya ketika Baginda ﷺ berbuka puasa.
Rasulullah ﷺ sendiri amat menggemari memakan buah kurma Ajwa dan menganjurkannya untuk sunnah memakan 7 biji buah kurma Ajwa di waktu pagi dan semasa berbuka puasa. Sabda Rasulullah ﷺ: “Sesiapa yang makan pagi dengan tujuh butir kurma Ajwa, maka akan terhindar daripadanya racun dan sihir pada hari itu.” (Riwayat Shahih Al-Bukhari)
Hadis ini menjelaskan bahawa kurma Ajwa boleh mengatasi racun dan sihir, mungkin kerana keberkatan dan kandungan yang ada di dalam kurma ini yang menyebabkan kekebalannya. Bagi yang memakannya akan beroleh keberkatan, disebabkan penanaman asal kurma ini telah bersentuhan dengan tangan Nabi Muhammad ﷺ yang mulia.
.
Buah kurma itu dinamakan Ajwa, berdasarkan ‘asbabul wurud’ (sebab-sebab turunnya hadis) yang menyatakan bahawa suatu ketika dahulu, Salaman Al-farisi seorang Nasrani yang baru memeluk Islam telah mewakafkan kebun kurmanya untuk perjuangan Islam. Beliau juga mempunyai seorang anak yang bernama Ajwa dan bagi mengenang jasa-jasanya itu, akhirnya Rasulullah ﷺ menamakan kurma yang dimakan ketika berbuka puasa itu dengan nama Ajwa.
Dari sumber-sumber yang lain pula mengatakan bahawa kurma Ajwa ini merupakan kurma yang ditanam sendiri oleh nabi. Menurut sejarah, kurma Ajwa yang pertama ditanam sendiri oleh Rasulullah ﷺ adalah di tanah Madinah, berhampiran Masjid Quba, sekitar 14 abad yang lampau.
.
Di ceritakan juga pada suatu hari Rasulullah ﷺ sedang berpuasa dan apabila tiba waktu untuk berbuka puasa satu makanan pun tidak ada untuk di makan oleh Baginda ﷺ.
Malaikat Jibril yang melihat keadaan Rasulullah ﷺ sedemikian merasa sedih lalu ia memohon kepada Allah سبحانه وتعالى supaya mengurniakan sesuatu makanan untuk rasul kesayangan-Nya berbuka puasa, lalu Allah سبحانه وتعالى yang sememangnya Maha Mengetahui segalanya memperkenankan permintaan malaikat Jibril tersebut dan diberikanlah buah kurma yang istimewa ini untuk Rasulullah ﷺ berbuka puasa.
Setelah selesai iftar, biji buah kurma tersebut kemudian ditanam oleh Rasulullah ﷺ. Bermula dari peristiwa itulah pokok kurma Ajwa ini seterusnya membesar di kawasan Madinah. Dan dimaklumkan juga pokok kurma Ajwa ini sukar hidup dan berbuah di tempat-tempat lain kecuali Madinah.
.
Pada masa ini jumlah pokok kurma Ajwa di Madinah hanya sekitar seratus pokok sahaja. Maka tidak menghairankan jika harganya amat tinggi. Itu pun ada pembekal yang menjual buah kurma ajwa yang belum masak untuk mendapat untung dengan merendamkannya dengan pemanis buatan.
Di Arab Saudi harga kurma Ajwa cukup mahal iaitu sekitar 60 – 80 riyal/kg., manakala di Malaysia harganya boleh mencapai RM 80.00 – RM 160.00/kg. Kini kurma Ajwa juga dapat dinikmati dalam bentuk pati, jus pekat  dan minuman serta  mudah didapati di negara kita.
Mudah-mudahan kita semua dapat merasakan segala manfaat kebaikan daripada kurma ajwa ini, dengan mengambil kurma ajwa ini secara teratur InsyaAllah boleh terhindar daripada perbagai penyakit sepertimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah ﷺ.
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
loading...

0 Response to "Kisah Asal Usul Buah Kurma Ajwa"

Post a Comment